Tidak susah untuk mengagak bahawa Ketua
Meja Sukan Bernama, Farhanah Azmi akan membaca akhbar bermula dari muka surat belakang setiap hari.
“Tentulah berita sukan dahulu...tengok
berita-berita yang boleh buat follow up, kemudian muka depan...hehe,” katanya
yang biasanya membaca semua akhbar utama tempatan.
Sekian lama melaporkan mengenai sukan,
banyak pengalaman dan pengetahuan diperolehi Farhanah yang akan mencecah angka 50
pada 1 Okt ini.
Liputan sukan telah membawa anak Bukit
Mertajam ini ke merata tempat di dunia, membina persahabatan dengan para atlet di
samping membentuk keperibadiannya.
“Banyak cerita inspirasi yang saya
belajar dari ahli sukan. Macam (Datuk Lee) Chong Wei, walaupun tidak pernah
menang pingat emas Olimpik atau gelaran juara dunia, dia tetap memberikan
komitmen terhadap latihan.
“Masa dia kena gantung lapan bulan sebab
kes penggunaan bahan terlarang, dia tetap menjalani latihan ringan untuk
mengekalkan stamina.
“Dia terpaksa bermula dari bawah semula untuk
mendapat semula kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia.
“Begitu juga (Datuk) Nicol David, aspek
disiplin dalam latihan membolehkan dia bertahan sebagai nombor satu dunia untuk
tempoh lebih 100 bulan.
“Walaupun sekarang agak sukar untuk dia dapat
kembali kedudukan itu dengan kebangkitan pemain-pemain muda Mesir tapi masih
gigih berusaha untuk berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia,” katanya.
“Kalau cerita pasal inspirasi, saya
paling terkesan dengan atlet-atlet paralimpik….mereka ni sangat istimewa, hanya
Tuhan sahaja tahu jerih perih mereka untuk berjaya.
Farhanah dengan Sharifah Raudzah |
“Bermula dengan tidak langsung mendapat
perhatian media, kini mereka jadi buruan pihak media. Saya kenal mereka sejak
awal pembabitan mereka. Dulu mereka amat sukar didekati kerana malu dan merasa
rendah diri,” katanya.
Antaranya ialah atlet powerlifting Sharifah
Raudzah Syed Akil yang Farhanah kenali sejak di Sukan Para Asean Korat pada
2008.
“Dia pembaca ikrar atlet masa pembukaan
rasmi Sukan Para Asean Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya mengenai pemenang
pingat gangsa untuk acara lebih 86kg wanita itu.
Farhanah menyertai Bernama pada Julai
2000 dan ditempatkan di Meja Sukan pada 2003.
“Kalau ikutkan, saya dah dalam bidang
kewartawanan sejak 1994 sebaik graduate dari USM (Universiti Sains Malaysia),”
katanya.
Beliau memulakan kerjaya dengan akhbar
Harian Watan pada tahun 1994 sebelum menyertai Radio dan Televisyen Malaysia
(RTM) dari 1997 hingga tahun 2000.
Sebagai ketua meja sukan, Farhanah
berkata antara tanggungjawabnya ialah “menjaga kreadibiliti Bernama serta memantau
anak buah saya di lapangan”.
“Jaga hubungan baik dengan client dan
sumber berita
“Bukan senang nak memuaskan hati semua
pihak tapi yang penting saya tahu saya dan team saya sudah melakukan
yang terbaik
“Saya akan sentiasa beri teguran kepada
rakan sekerja jika saya dapat tahu apa yang mereka lakukan itu tidak betul,”
katanya.
Farhanah berkata banyak memori berkaitan
kerja yang menjadi ingatan baginya.
“Antaranya pengalaman membuat liputan
Sukan Paralimpik di Beijing 2008 dan London 2012.
“Selain itu dapat peluang interview
secara eksklusif pelumba F1 Michael Schumacher, Lewis Hamilton dan jaguh Motor GP
Valentino Rossi,” katanya.
Farhanah berkata beliau akan bertugas di Litar
Sepang pada hari lahirnya Ahad ini untuk membuat liputan Perlumbaan Grand Prix F1
Malaysia yang terakhir.
“Tugasan diutamakan…tahun lepas pun buat
liputan sama tapi kali ni lain sikit sebab saya baru kehilangan adik saya,”
kata Farhanah yang telah tujuh kali melaporkan mengenai perlumbaan F1 sejak
2006.
F1 Grand Prix Malaysia akan menutup
tirainya tahun ini setelah 19 tahun beroperasi dan akan digantikan dengan Motor
GP mulai tahun hadapan.
Farhanah, yang kerap ke luar negara untuk
membuat liputan sukan, berkata rakan-rakan yang pergi bersama akan tahu bahawa
beliau suka memasak di bilik hotel.
“Masak simple jer, nasi, ikan
sardin dan beberapa jenis masakan segera seperti pes kari Brahim...hehe bukan
nak jimat, tapi sebab sukar nak cari makanan halal.
“Kadang-kadang bawa siap-siap sambal
tumis ikan bilis kering...itu sesuatu yang mesti...hehehe.
“Maggi saya bawa juga tapi jarang makan,
kalau rakan-rakan nak saya bagi jer.
“Itu jadi habuan bila terlampau letih
sangat balik assignment awal pagi, Maggi lah jadi pengalas perut,”
katanya.
Farhanah mengakui bekalan bahan-bahan itu
yang dibawanya menambah berat beg.
“Haah...tapi beg saya selalu tak lebih
30kg...hehe sebab separuh beg penuh dengan makanan…baju saya bawa sedikit
sahaja sebab baju boleh dibeli.
“Bila nak balik, makanan lebih yang tak
dimasak tu saya tinggalkan saja di hotel atau bagi dekat orang yang saya kenal
seperti pemandu teksi atau cleaner kat hotel tu,” katanya.
Dalam mencapai usia ke-50, Farhanah berkata
beliau merasakan “tidak cukup lagi ilmu di dada terutama ilmu agama”.
“Saya rasa masa terlampau cepat berlalu..saya
nak cari masa untuk ke kelas agama, insyaAllah,” katanya.
No comments:
Post a Comment