Daripada Muammar Eusouffi Zainol Abidin di Jeddah
Agensi Berita Islam Antarabangsa (IINA) mahu meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin dengan Bernama ke tahap yang lebih tinggi.
Ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah IINA, Issa Khaireh Robleh semasa kunjungan Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh ke Ibu Pejabat IINA di Jeddah hari ini.
"Bernama sebuah agensi berita yang sangat kukuh dan kuat, sangat penting untuk kami saling bertukar kepakaran dalam pelbagai bidang," katanya kepada Bernama selepas kunjungan itu.
Issa berharap agar Bernama memberi sokongan kepada IINA yang telah merangka pelan 10 tahun bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kepada negara-negara anggota IINA termasuk Bernama yang mempunyai Meja Berita Bahasa Arab.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Mohd Zain serta Ketua Editor Tugasan BNC Abdul Rahman Ahmad dan Jurukamera BNC Ahmad Shahuri Mat Jaan – kedua-duanya menyertai Kembara Inspirasi Haji (KIH) yang melalui pengembaraan hampir 16,000 kilometer merentasi lapan negara untuk sampai ke Tanah Suci.
Ketua Pengarah IINA itu turut mengundang Bernama untuk menghadiri perhimpunan agungnya yang kelima pertengahan Oktober nanti.
Zulkefli menyambut baik tawaran IINA yang dinaungi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bekerjasama lebih rapat dengan Bernama serta percaya agensi itu boleh memainkan peranan lebih efektif dalam menyalurkan berita dalam kalangan negara Islam.
Beliau berkata kerjasama itu akan saling memperkukuhkan hubungan dalam kalangan agensi berita negara Islam yang bernaung di bawah IINA.
Dalam lawatan itu, delegasi Bernama diberi taklimat mengenai operasi agensi berita berkenaan oleh Issa dan Penolong Eksekutif Ketua Pengarah IINA, Akram Ameen.
Dalam taklimat berkenaan, Issa menyatakan perasaan gembira dengan kehadiran delegasi Bernama walaupun masih dalam kepenatan menunaikan ibadah haji.
Delegasi tersebut turut melawat Jabatan Pengarang IINA termasuk bahagian bahasa Perancis, Arab dan Inggeris.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment