Lebih 300 pasang pakaian yang masih elok
dan cantik, berjaya dikumpul oleh Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama
(Benita) untuk diserahkan kepada Yayasan Prihatin Insan (YPI) bagi tujuan mengutip dana melalui kempen 'Baju
Cantik Untuk Dana'.
Pakaian yang disumbang anggota Benita,
kakitangan Bernama dan anggota Puspanita cawangan Kementerian Komunikasi dan
Multimedia (PCKKMM) itu akan dijual pada program jualan YPI dan hasilnya akan
diagihkan pula kepada asnaf terpilih.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustaffa
berkata kempen yang dijalankan selama sebulan itu merupakan kesinambungan
program kebajikan yang dianjurkan persatuan berkenaan seperti projek 'Sepatu
Raya' dan beberapa program kebajikan yang diadakan setiap tahun.
"Ini merupakan kali pertama
kerjasama Benita dengan Yayasan Prihatin Insan dan kami berharap usaha ini
dapat membantu yayasan dalam meringankan beban golongan yang memerlukan,"
katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan 'Baju Cantik Untuk Dana'
di Wisma Bernama hari ini.
Sumbangan pakaian itu diserahkan Pengurus
Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh kepada Pengerusi YPI Ismail Ishak.
Rohana berkata Benita juga akan
meneruskan inisiatif sebagai perantara kepada badan-badan kebajikan serta
mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak bagi melaksanakan program amal yang
diusahakan.
Sementara itu, Ismail mengucapkan
perhargaan kepada Benita atas sumbangan berkenaan dan berkata pakaian yang
dikumpul itu akan dijual melalui program-program yang telah disusun YPI.
Antaranya jualan but kereta, kempen dan
Karnival Prihatin Insan yang akan jalankan pada November.
Beliau berkata YPI juga mengalu-alukan
sumbangan daripada pihak korporat dan individu lain untuk bekerjasama dalam
program kebajikan yayasan itu bagi membantu golongan asnaf yang terdiri
daripada ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan kurang bernasib baik.
"Asnaf ini bukan hanya kita bantu,
malah kita didik mereka bagaimana pendekatan dan cara untuk keluar daripada
garis kemiskinan melalui program yang kita jalankan," katanya.
Pada majlis berkenaan turut diadakan
pertandingan Permainan Tradisional Benita 2017.
Seramai 30 peserta terdiri daripada
anggota Benita mengambil bahagian dalam permainan seperti congkak, dam haji dan
batu seremban.
Pemenang akan mewakili Bernama ke
pertandingan peringkat kementerian anjuran Puspanita KKMM.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment