Friday 29 September 2017

Mengulangi sejarah biro Jakarta...

Apabila beliau memulakan tugas sebagai Pewarta Bernama di Jakarta pada 1 Oktober ini, saudara Mohd  Shukri Ishak bagaikan melangkah mengulangi sejarah yang tercipta 46 tahun lalu.
Pada tarikh yang sama tahun 1971, wartawan kanan Ahmad Rejal Arbee menempa nama sebagai pewarta Bernama pertama di luar negara dengan pembukaan biro Jakarta.
Kini bergelar Datuk, Ahmad Rejal berkhidmat di Jakarta sehingga Januari 1973  sebelum kembali ke ibu pejabat dan menyertai New Straits Times tiga tahun kemudian.
Beliau kembali ke Bernama sebagai Ketua Pengarang pada 1 November 1981 dan memegang jawatan itu sehingga 14 Feb 1989.
Menyedari tanggungjawab yang besar, Shukri berkata perasaannya bercampur baur apabila dimaklumkan mengenai pelantikannya sebagai pewarta Bernama menggantikan saudara Azeman Ariffin.
“Saya fikirkan tanggungjawab dan amanah sebagai pewarta…dari liputan berita dan sebagainya serta menjaga nama baik Bernama,” katanya.
Beliau juga sedar mengenai peranan sebagai “duta kecil” bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Apatah lagi, para pegawai kedutaan besar Indonesia di ibu negara yang ditemuinya berharap Bernama akan meneruskan peranan menyiarkan berita-berita yang dapat meningkatkan lagi hubungan serta meredakan isu isu sensitif .
Tanggungjawab besar juga ialah mengekalkan hubungan erat antara Bernama dengan agensi berita nasional Indonesia, Antara, yang saling bekerjasama dalam bidang media dan mempunyai hubungan istimewa.
Keakraban kedua-dua agensi itu dimanifestasikan dengan penempatan pewarta masing-masing dengan Antara mempunyai pejabat di tingkat lima Wisma Bernama di Kuala Lumpur manakala biro Bernama Jakarta ditempatkan di Wisma Antara. 
Sehingga kini, 13 orang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pewarta Bernama di Jakarta termasuk Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh yang berkhidmat di negara itu dari 1992 hingga 1995.
Malahan, bukan Datuk Zulkefli sahaja yang meningkat dalam kerjayanya menjadi ketua pengarang dan pengurus besar tetapi juga Datuk Syed Jamil Jaafar yang merupakan pewarta keempat di Jakarta pada tahun 1970-an.
Seorang daripada bekas pewarta itu, Openg Onn Net telah menghasilkan buku berjodol 'Indonesia dari sebuah jendela: Satu catatan kewartawanan' yang diterbitkan pada 2007 berdasarkan pengalamannya sebagai pewarta Bernama di Indonesia.
Openg merupakan pewarta paling lama berkhidmat di Jakarta selama enam tahun dari 1999 hingga 2004 -- menyaksikan empat presiden termasuk pilihanraya pertama presiden Indonesia.
Beliaulah yang mencetuskan idea penubuhan Bernama Radio berdasarkan sebuah saluran radio di republik itu.
Dalam menempuh fasa baharu kerjayanya di Bernama, Shukri menghargai kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab besar itu.
“InsyaAllah saya buat yang terbaik,” kata ‘anak kampung’ berusia 45 tahun dari Guar Chempedak, Kedah itu.
“Saya dah plan buat courtesy call kepada Duta Malaysia (di Jakarta) dan berjumpa Menteri Luar Indonesia..sudah minta bantuan bapak Azeman,” katanya mengenai langkah awal sebagai pewarta.
Shukri menyertai Bernama pada 1 Mei 1996 setelah memperolehi ijazah dalam bidang komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Bernama memberikan saya peluang dan diterima sebagai wartawan,” katanya.
Beliau pernah menjadi ketua meja jenayah, ketua biro dan “paling tidak boleh dilupakan ialah peluang membuat liputan haji”.
“Tahun 2014 saya cover program umrah Tabung Haji…tahun 2015 buat liputan Haji TH…tak pernah termimpi dapat peluang tu,” katanya.
Sebelum itu beliau lama menjadi Ketua Biro di Pahang dari 2001 hingga 2013.
“Sejak Datuk Seri Najib Menteri Pertahanan sampailah dia jadi Perdana Menteri,” katanya mengenai tempoh perkhidmatannya di negeri itu.
Ketika ditanya sama ada beliau terfikir untuk berkhidmat di luar negara, Shukri berkata beliau pernah berangan mengenainya.
“Berangan…bukan melobi hehehe…Alhamdulillah diberikan peluang,” katanya.
Mengenai perasaannya ‘mewarisi’ kedudukan sebagai pewarta di Jakarta daripada  nama-nama terkemuka seperti Datuk Zulkefli, Datuk Ahmad Rejal dan Datuk Syed Jamil,  Shukri berkata: “..saya insan biasa saja. Sangat risau akan tanggungjawab dan amanah.”
Beliau akan berbincang dengan Azeman mengenai operasi biro Jakarta bagi membantunya memulakan tugas baharu itu.
Setelah bertugas selama tiga tahun di Jakarta, Azeman akan kembali ke ibu pejabat sebagai Editor II di Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA). 


No comments:

Post a Comment