Wednesday 1 August 2018

Rinjani dalam kenangan…


Sekumpulan 21 petugas Bernama berada di Pulau Lombok, Indonesia untuk mendaki Gunung Rinjani seminggu sebelum kawasan itu dilanda gempa bumi.
Gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu dengan ketinggian 3,726 meter adalah sebahagian daripada Taman Nasional Gunung Rinjani seluas 41,330 hektar yang popular dengan keindahan semulajadinya.
Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi Ahad lepas, menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.
Bencana itu mengorbankan 14 orang termasuk seorang rakyat Malaysia Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang dilaporkan dalam misi pendakian ke gunung berapi Rinjani itu.
Kumpulan Bernama itu telah merancang sejak tahun lepas untuk mendaki gunung tersebut setelah membuat pendakian di beberapa tempat dalam negara.  
“Tiket flight memang dah beli dari tahun lepas,” kata Izzul Zunnurain yang turut sedih dengan kejadian gempa bumi itu.
“Kita dapat membayangkan diri sendiri ada dekat situ
“Bila media sosial tunjuk gambar-gambar dan video kat sana, memang saya lalu kawasan tu masa di sana
“Boleh bayangkan suasana yang aman masa kami sampai kat sana tiba-tiba jadi hura hara…tiba-tiba berlaku gempa bumi..mesti suasana dah bertukar,” kata Izzul, 29, dari bahagian Perkhidmatan Media dan Pangkalan Data.
Menurutnya, kumpulan itu yang diketuai Asri Junin dan turut mengandungi lima wanita tiba di Lombok pada 16 Julai dan mula bergerak ke gunung itu keesokannya.
“Dari KLIA2, kami terbang ke Lombok International Airport, tiba dah malam.
“Kemudian kami dibawa ke Sembalun dan menetap satu malam di mini villa homestay.
Menceritakan pengalaman pendakian itu, beliau berkata dari homestay Sembalun mereka dibawa ke pintu masuk  gunung itu pada kira-kira 9.30 pagi untuk memulakan misi.
“Kami melalui Pos 1 sebelum sampai ke Pos 2 di mana kami berhenti untuk makan tengah hari.
“Selepas makan dan solat kami meneruskan perjalanan melalui Pos 3 sebelum  sampai di Pos 4 yang dikenali sebagai Bukit Penyesalan.
“Matlamat kami pada 17hb itu adalah untuk sampai ke Camp Site (tapak khemah) yang letaknya separuh perjalanan di Gunung Rinjani,” katanya.
Kumpulan itu sampai di camp site pada kira-kira 8.30 malam.
“Pada pagi 18hb jam 3 pagi, kami bangun dan mula mendaki ke puncak Gunung Rinjani
“Sepanjang perjalanan ke puncak Gujung Rinjani tu, kami ditemani banyak bintang.
“Memang cantik…dapat melihat kebesaran Allah
“Cantik sangat bintang pada masa tu,” kata Izzul yang sampai ke puncak pada pukul 10.30 pagi.
Ada yang sampai lebih awal pada  pukul 8.30 pagi dan 9.30 pagi.
Beliau bersyukur dapat sampai ke puncak “sebab ada yang separuh jalan tak sampai ke puncak kerana kehabisan tenaga”.
“Sebelum sampai ke puncak, kami kena melalui “Laluan Neraka”…ramai yang kecundang di “Laluan Neraka”,” katanya mengenai tempat itu yang berpasir dan berbatu.
“Ia ibarat selangkah kita berjalan, dua langkah kita mengundur.
“Daripada situ dah boleh nampak puncak,tapi nak sampai puncak ambil masa 1 jam juga,” katanya.
Beliau bekata semangat mental yang kuat diperlukan untuk menempuhi “Laluan Neraka”.
“Disebabkan keinginan yang kuat untuk sampai ke puncak, saya bergerak perlahan-lahan…sewaktu saya di laluan neraka, kebanyakan pendaki sudah mula turun.
“Mereka turun, saya naik…saya tak kisah jadi orang yang terakhir, janji saya nak sampai puncak..masa tu pikir kalau mati pun nak juga sampai puncak,” katanya.
Jarak 'Laluan Neraka' itu kira-kira 500 meter tapi  “nak sampai puncak ambil masa sejam setengah juga bagi orang macam saya”.
“Disebabkan matahari sudah mula naik di kepala, saya cuma spent time dalam 20 minit di puncak untuk ambil gambar,” kata Izzul yang terus sujud syukur apabila sampai ke puncak gunung.
Beliau berkata 12 peserta Bernama termasuk dua wanita berjaya sampai ke puncak.
Bagi Izzul, pendakian itu memberi iktibar dan pengajaran.
“Jangan pentingkan diri sendiri..
“Sentiasa mengamalkan semangat setiakawan
“Jangan cepat mudah berputus asa..ambil masa berehat sekejap dan teruskan perjalanan
Setkan dalam minda bahawa destinasi terakhir adalah puncak
“Jika kekuatan fizikal dah tak mampu dan tak bertenaga..kekuatan mental yang kita dah setkan tadilah penyelamat dan pembakar semangat untuk terus berjuang
“Dan gunakan kesempatan untuk sentiasa bersyukur dengan kebesaran Allah.
“Allah dah tunjukkan kuasa dengan mempertontonkan keindahan alam semesta.
“Banyakkan bersyukur dan jangan tinggalkan solat
“Sentiasa ambil berat dan ambil tahu keadaan rakan-rakan seperjuangan yang lain semasa mendaki.
“Ikut arahan ketua pendaki dan sentiasa jaga kebersihan,” kata Izzul.
Selepas mendaki, mereka turun menuju ke camp site untuk berehat dan makan tengah hari sebelum bergerak turun pada pukul 3.30 petang.
Mereka tiba semula di homestay di Sembalun pada kira-kira 9 petang, masing-masing kepenatan.
“Keesokkan hari nya, kami check out dan menuju ke homestay di Senaru yang telah kami tempah.
“Di Senaru, kami memang plan nak berjalan-jalan sekejap di  Air Terjun Sendang Gile dan Tiu Kelep,” katanya.
(Foto koleksi Izzul Zunnurain)

No comments:

Post a Comment