Monday 27 August 2018

Bernama meterai perjanjian dengan iflix...

Bernama hari ini menandatangani kerjasama dengan iflix, pembekal perkhidmatan hiburan, yang dijangka meningkatkan bilangan penonton Bernama News Channel (BNC).
Pengurus Besar iflix Malaysia dan Brunei, Diana Boo berkata BNC dipilih sebagai  satu daripada saluran berita dalam ‘iflix News’ kerana agensi berita itu menyediakan berita terkini, tepat dan relevan untuk rakyat negara ini.
Penstriman berita 24 jam secara langsung ini dapat diakses secara percuma bermula esok (28 Ogos).
Menurutnya, kerjasama itu membuka lembaran baharu kepada iflix untuk memberikan informasi dan maklumat hal ehwal semasa kepada pengguna dan tidak terhad kepada rancangan televisyen, filem dan sukan.
“Kami berharap kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai satu platform yang menyeluruh untuk semua pengguna,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) iflix dan Bernama di Wisma Bernama.
MoU itu ditandatangani oleh Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif iflix Marc Barnett dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Sementara itu, Pengarah Operasi BNC Hakimi Zuffrida Mohd Zain berkata kerjasama itu dijangka dapat menambah bilangan penonton global sekali gus memberi manfaat kepada BNC dan juga iflix.
“BNC dipilih sebagai penyedia berita tempatan yang pertama di iflix dan percaya kita boleh menyampaikan berita kepada audien yang lebih luas.
“Kita menjanjikan berita yang tepat dan berkredibilti kepada pengguna. Selain itu kita dalam rangka menyediakan kandungan baharu namun perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.
Iflix yang memiliki kira-kira 4 juta pelanggan di 28 buah negara merupakan peneraju perkhidmatan hiburan untuk pasaran membangun dengan senarai tontonan pelbagai pilihan rancangan yang menarik.
Sebelum ini CNN adalah satu-satunya saluran berita secara langsung yang disiarkan menerusi iflix.

No comments:

Post a Comment