Thursday 30 August 2018

Kecekapan Pasukan Keselamatan Masjidil Haram

Catatan Haji Shamsudin Puteh dari Makkah

Bagi yang pernah menunaikan haji atau umrah, gelagat dan cara polis Saudi mengawal jemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tentu menarik perhatian mereka.
Kejadian jemaah diherdik, dihalau daripada berkumpul dan duduk menunggu masuk waktu solat di sesuau tempat, adalah perkara biasa.
Senyuman di wajah anggota keselamatan memang di dua tempat itu memang susah didapati.
Akibatnya, ramai membuat kesimpulan bahawa anggota pasukan di dua masjid itu terdiri daripada mereka yang garang dan tak kenal budi bicara.
Sebelum ini, saya juga beranggapan begitu. Jauh bezanya dengan sikap dan pendekatan anggota pasukan keselamatan kita yang bertugas mengawal orang ramai di tempat tertentu, lebih-lebih lagi di masjid dan rumah ibadat lain.
Bagaimanapun, tanggapan saya ini berubah setelah mengamati keadaan di Masjidil Haram selama kira-kira dua jam sementara menunggu masuk waktu solat subuh tadi. Ternyata, kedegilan serta sikap suka membantah dan bertengkar, terutama oleh warga beberapa negara timur tengah dan Asia, terhadap peraturan yang ditetapkan, memerlukan anggota pasukan keselamatan di masjid berkenaan bersikap tegas dan kelihatan kasar juga.
Jika tidak, peraturan hanya tinggal peraturan semata-mata dan seterusnya menyusahkan seluruh jemaah.
Contohnya, ada kelompok jemaah yang datang lewat dan terus duduk di bahagian yang diletakkan hadangan sebagai laluan.
Jika pihak keselamatan berlembut, mereka akan terus duduk di situ dan ini sudah pasti menyusahkan jemaah lain.
Kecekapan anggota keselamatan dalam menyusun ruang untuk menunaikan solat mengikut aliran keluar masuk jemaah menghasilkan suasana teratur untuk para jemaah beribadat, walaupun jumlah mereka mencapai puluhan ribu pada satu-satu masa.
Ternyata, disiplin, tertib, mematuhi peraturan sangat penting bagi manusia, lebih-lebih lagi dalam perkara berkaitan ibadat.
Satu perkara yang perlu disebut ialah dalam pengamatan saya, jemaah dari Malaysia adalah antara yang paling tertib semasa berada di Masjidil Haram.


No comments:

Post a Comment