Friday 17 August 2018

Bernama lakukan transformasi dalam 100 hari kerajaan baharu...

Oleh Soon Li Wei

Berikutan janji kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) berkaitan kebebasan media yang lebih berbanding sebelum ini, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menyaksikan transformasi dalam tempoh 100 hari kerajaan baharu berkuasa.
Daripada sebuah entiti yang menyalurkan maklumat kepada umum, dalam landskap baharu politik, Bernama juga berperanan penting untuk memastikan semak dan imbang dalam proses pentadbiran negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zulkefli Salleh berkata antara transformasi awal yang dialami selepas pemerintahan kerajaan baharu PH adalah berita bahasa Tamil dan Mandarin disiarkan semula menerusi saluran televisyen Bernama News Channel (BNC), iaitu masing-masing ke udara pada 16 Julai dan 30 Julai lalu.
"Berita bahasa Tamil dan Mandarin kembali atas usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo selepas lawatannya ke Bernama pada 28 Mei lepas, dan ini jelas membuktikan kami mampu menyampaikan maklumat dalam pelbagai bahasa kepada masyarakat umum secara objektif, selaras dengan slogan kami iaitu 'Pastikan Benar'.
BNC kini menyaksikan audien seramai 2.4 juta orang sebulan, berbanding 1.1 juta orang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas. Berita bahasa Tamil BNC menyaksikan audien seramai 323,000 sebulan dan berita Mandarin pula yang mula disiarkan sejak dua minggu lepas sudahpun mempunyai audien seramai 128,000 orang, katanya kepada Bernama.
Selain mengembalikan berita dalam kedua-dua bahasa itu, Bernama turut mengukuhkan mutu penyampaian berita dan maklumat secara profesional terutamanya menerusi perkhidmatan 'wires', portal dan radio selaras dengan kebebasan baharu yang dikecapi media negara.
"Strategi penyampaian berita tanpa berat sebelah dan tidak mengenal fahaman politik menjadi faktor peningkatan jumlah pembaca dan langganan terhadap produk-produk kami," katanya.
Pengurus portal berita Mastura Hassan berkata portal Bernama.com kini menyaksikan jumlah pelawat lebih 10 juta orang sebulan, satu peningkatan ketara berbanding 3 juta pelawat sebelum PRU14.
Selain itu, katanya, Bernama juga tidak ketinggalan di media sosial dengan pengikutnya di Twitter kini berjumlah hampir 700,000 dan bilangan “likes” yang diterima pada FB berjumlah lebih 400,000.
Sementara itu, Zulkefli berkata cadangan penggabungan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan BNC dalam penerbitan berita juga bakal memberi  nafas baharu kepada penonton kedua-dua entiti media itu.
"Penggabungan yang membolehkan penjimatan kos operasi kedua-dua organisasi media berkenaan diharap dapat membolehkan penyiaran berita-berita dan maklumat terkini secara profesional dan berkesan di bawah pengurusan baharu.
"Ia sekali gus juga mampu menjana dana tambahan kepada kerajaan dalam menumpukan kerja-kerja inovasi untuk menaikkan taraf kedua-dua agensi berita itu," katanya.
Bersempena dengan 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, BNC turut menyiarkan dokumentari khas '100 hari Berlalu' untuk versi bahasa Malaysia dan 'Reset Malaysia' bagi versi bahasa Inggeris bermula 9 Ogos lalu.
Dokumentari itu mengimbas kembali perjalanan dan pelbagai peristiwa bermula PRU14 sehinggalah ke hari ini yang dilalui pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.
Selain itu, Zulkefli berkata selepas pentadbiran kerajaan Baharu sejak 9 Mei lalu, imej Bernama turut meningkat menerusi kunjungan-kunjungan daripada menteri-menteri dan timbalan menteri ke Wisma Bernama untuk program-program bersama BNC dan Bernama Radio.
"Kami turut membantu kementerian-kementerian lain untuk terus menyampaikan informasi terkini kepada masyarakat umum seterusnya menjadikan Bernama terus dikenali ramai sebagai agensi berita mutakhir," katanya.
Sementara itu, Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri Datuk A.Kadir Jasin dalam lawatannya ke Bernama pada Khamis berkata dalam landskap media bebas kerajaan mahu melihat agensi itu meningkatkan profesionalisme dan berperanan sebagai entiti semak imbang.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment