Saturday 25 August 2018

Rezeki Musim Haji...


Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri  (PBDN) Saudara Shamsudin Puteh, yang selesai menunaikan semua rukun dan wajib haji hari ini, mendoakan semoga ibadah dan amalannya itu diterima Allah Subhanahu Wataala.
“Sebagai insan serba lemah, itu sahajalah yang terdaya aku lakukan. Kepada saudara mara dan rakan taulan, sudahku lafazkan doa seperti yang saudara amanahkan dan sama-samalah kita mendoakan lagi agar Allah memakbulkannya,” katanya menerusi catatan dalam Facebook.
Dalam satu lagi catatan, beliau berkongsi kisah berikut dengan tajuk “Rezeki Musim Haji”.
"Assalamualaikum. Bapak dari Kuala Lumpur? Rasanya kita pernah ketemu."
Demikian sapaan seorang lelaki ketika saya sedang bersantai dan memerhati keadaan di depan hotel penginapan, Zuwar Albait, tidak jauh dari Masjidil Haram. Pelbagai tanggapan terlintas di fikiran dengan sapaan itu, termasuk yang negatif. Astaghfirullah! Setelah berbual seketika, lelaki berkenaan berkata dia rasa pernah bersua dengan saya di Masjid India, Kuala Lumpur semasa dia mengikuti rombongan Jemaah Tabligh suatu masa dulu. Baru saya teringat, ketika bertugas dengan Jabatan Penerangan di Jalan Tun Perak, saya selalu juga menunaikan solat di masjid itu, yang menjadi markas Jemaah Tabligh, sebelum terbina masjid di Seri Petaling yang menjadi markas baru gerakan itu.
Diringkaskan cerita, lelaki berketurunan Indonesia itu tinggal di kawasan perkampungan di hujung jalan hotel penginapan saya. Menurutnya, perkampungan itu menjadi tempat tinggal mereka yang berasal dari Indonesia, Tanah Melayu dan Pattani. Kewarganegaraan mereka tidak dapat saya pastikan. Lelaki bernama Haris itu berkata, musim haji dan umrah memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan dengan memberi perkhidmatan menolak jemaah yang uzur untuk mengerjakan tawaf dan saie dengan kadar bayaran tertentu. Mereka juga memberi khidmat berkaitan upah haji. Berdasarkan latarbelakang pendidikan agama mereka, rasa saya khidmat mereka boleh dipercayai. Haris turut memberi kadnya untuk disebarkan kepada sesiapa yang ingin mendapatkan perkhidmatannya.
Haris berjanji untuk membawa saya melawat perkampungan mereka jika ada kelapangan. Saya amat teruja untuk ke situ. Tentu banyak cerita yang boleh dikutip dari mereka.
Ternyata, musim haji membuka pelbagai kemungkinan, termasuk bertemu dengan saudara seagama dari seluruh pelosok alam. Kebanyakan mereka yang saya temui, tahu tentang Malaysia dan kagum dengan pencapaian umat Islam di negara bertuah itu.

No comments:

Post a Comment