Friday 24 August 2018

Iktibar kembara Kemboja...

Banyak iktibar diperolehi wartawan Amrizan Madian yang kini menyertai Kembara Kemanusiaan Kemboja anjuran Bank Rakyat.
“Saya cukup terharu kerana berpeluang turut serta dalam misi kemanusiaan Bank Rakyat di Kemboja ini,” katanya.
Menurutnya, sebagai negara yang pernah bergolak dengan peperangan, kehidupan rakyatnya memang jauh lebih susah.
Kembara di bawah Program Sinar Aidiladha 1439H anjuran bank itu dijalankan sejak empat tahun lepas dan menjadi simbol persaudaraan masyarakat Islam Malaysia dan Kemboja.
Program itu melibatkan 108 lembu dan 45 kambing korban yang memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk dari 45 mukim dalam Wilayah Kampot.
Korban itu adalah sumbangan warga kerja Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan Assyafie dan Surau Al Barakah Bank Rakyat.
“Saya bangga dengan sumbangan rakyat Malaysia yang simpati dengan rakyat Kemboja khasnya saudara sesama Islam,” kata Amrizan.
Beliau dimaklumkan oleh Ketua Hal Ehwal Islam Wilayah Kampot Ly Sary bahawa masyarakat Islam di Kampot amat terhutang budi kepada rakyat Malaysia yang tidak pernah lupa untuk membela nasib mereka.
Wilayah itu mempunyai kira-kira 30,000 penduduk Islam, kebanyakkannya petani dan nelayan.
Melihat keadaan di sana, Amrizan berkata beliau amat syukur dengan apa yang dinikmati di Malaysia.
“Amat besar harapan saya untuk melihat Malaysia kekal aman dan terus maju.
“Peperangan tidak akan membawa erti kerana ia lebih kepada menghancurkan sesebuah negara itu sendiri.
“Seperti apa yang berlaku di Kemboja, peperangan telah memusnahkan negara itu sendiri,” katanya yang ditemani jurufoto Hazim Mohammad.
Mereka tiba di Phnom Penh pada pukul 5 petang semalam dan terus menaiki bas ke Kampot yang mengambil masa lima jam.
Kampung Keh dalam wilayah Kampot, tempat acara itu, terletak kira-kira 150 km dari Phnom Penh.
“Disebabkan banjir, banyak jalan rosak dan kami terpaksa ikut laluan jauh.
“Perjalanan kami hari ini pun terbatas…tak dapat ke dua lagi kampung disebabkan jalan dinaiki air dan rosak,” kata Amrizan.
“Selepas misi di Kampung Keh, Kampot hari ini, esok kami akan balik ke Phnom Penh dan bergerak ke jeti penempatan penduduk nelayan Sungai Tonie Sap/Mekong untuk agihan beras,” katanya.




No comments:

Post a Comment