Friday 31 August 2018

Sambutan Merdeka serlahkan semangat 'Sayangi Malaysiaku'

Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 hari ini menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia dalam menzahirkan semangat patriotisme dan perpaduan demi kesejahteraan negara.
Acara kemuncak yang merupakan perbarisan dan perarakan di Putrajaya menampilkan empat komponen senada dengan tema sambutan "Sayangi Malaysiaku".
Komponen itu ialah kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan rakyat bersepadu.
Sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dataran Putrajaya, majlis yang disaksikan jutaan rakyat yang hadir di lokasi serta melalui siaran langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, dimulakan dengan nyanyian “Negaraku” dan disusuli bacaan ikrar Rukun Negara.
Deruan helikopter menyusul di ruang udara Putrajaya apabila lima buah helikopter iaitu dua EC 725 AP dan sebuah Sikorsky S61A-4 Nuri, masing-masing milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah Augusta 109 milik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan sebuah Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat lintas hormat kepada Seri Paduka.
Tembakan kehormatan 14 das, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, yang dilakukakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang ketika nyanyian lagu Negaraku diperdengarkan.
Turut hadir pada acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018 itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri cabinet, para pegawai kanan kerajaan   serta perwakilan asing.
Sambutan kali ini mencatat sejarah dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan kini diterajui Pakatan Harapan, yang memenangi Pilihanraya Umum Mei lepas dengan kepimpinan Dr Mahathir yang kembali menerajui kerajaan pada usia 93 tahun.
Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2018 juga istimewa kerana Dr Mahathir merupakan pemimpin yang mengilhamkan pembangunan kawasan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar, menjadi pusat pentadbiran negara pada 1995.
Kali pertama acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya ialah pada 2005.
Pengunjung yang dianggarkan seramai 300,000 orang mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal 5 pagi dengan membawa Jalur Gemilang untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan hari kebangsaan itu.
Majlis pembacaan ikrar Rukun Negara melibatkan 50 pelajar termasuk dua pelajar orang kurang upaya (OKU) diketuai Muhammad Aiman Shafiq Mohd Shah Noor Yong dari Maktab Tentera DiRaja,Kem Sungai Besi Kuala Lumpur.
Laungan keramat 'Merdeka' sebanyak tujuh kali yang juga diketuai Muhammad Aiman Shafiq turut bergema di Dataran Putrajaya.
Turut menarik tumpuan ialah persembahan khas Sayangi Malaysiaku, yang memaparkan persembahan pelbagai komuniti melalui penyertaan 600 golongan muda daripada kumpulan kesenian.
Mendahului acara perbarisan dan perarakan ialah kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 80 kaki x 40 kaki yang dibawa oleh seramai 60 orang.
Ia disusuli dengan perarakan 660 pembawa Jalur Gemilang dan 1,340 pembawa bendera negeri serta bendera berwarna.
Sepanjang acara berlangsung, suasana dimeriahkan dengan alunan irama daripada pancaragam gabungan pasukan beruniform seramai 524 anggota.
Pada segmen Keselamatan Negara, kontinjen yang terlibat dalam perarakan ialah daripada tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu darat, laut dan udara serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Turut dipertontonkan ialah aset-aset agensi keselamatan yang terlibat.
Antara aset yang menjadi tarikan ialah penampilan kereta kebal Pendekar yang dilengkapi sistem pensenjataan iaitu 125MM 'Gun' dan mempunyai pertahanan reaktif armor.
Penampilan kenderaan pembawa misil milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut menarik perhatian.
Yang di-Pertuan Agong turut memberikan tabik hormat apabila kontinjen Tentera Darat 1 dan Tentera Darat 2 melintasi pentas utama.
Helikopter kontinjen keselamatan negara dan ketenteraman awam yang terdiri daripada tentera udara, tentera laut, polis dan APMM turut membuat lintas udara.
Formasi 61 oleh 16 pesawat Pilatus PC-7 Mark III bersempena kemerdekaan ke-61 turut menghiasi ruang udara Putrajaya.
Ruang udara Putrajaya juga digegarkan dengan aksi akrobatik pesawat pejuang TUDM.
Pesawat-pesawat terlibat ialah Hawk 108/208, F/A 18-D Hornet dan Sukhoi SU-30MKM.
Acara diakhiri dengan komponen rakyat bersepadu melibatkan persembahan khas yang mencerminkan kepelbagaian kesatuan bangsa Malaysia yang berlangsung dengan penuh warna-warni.
Seramai 12,295 orang dan sejumlah 475 aset terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan hari ini.
 -- BERNAMA



No comments:

Post a Comment