Friday 17 August 2018

Berat tinggalkan Bernama...

Berat baginya meninggalkan Bernama yang telah mengajar beliau erti tanggungjawab dan menyemai semangat kekeluargaan.
“Hari ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Bernama setelah hampir 11 tahun 3 bulan,” kata  Essan Yahya, 33, penerbit dan hos program Ruang Bicara di Bernama News Channel (BNC).
Beliau mengakui banyak ilmu yang dikutip sambil mencipta berjuta kenangan dan membina persahabatan selama berada di Bernama.
Bermula sebagai wartawan Bernama Radio pada 1 Jun 2007 semasa awal penubuhannya, beliau kemudian  menjadi seorang peneraju.
Daripada seorang Penerbit Kanan, Essan ditukarkan semula menjadi Wartawan Kanan di Unit Berita Bernama Radio.
Kira-kira setahun 2 bulan yang lalu, beliau ditugaskan menjadi Penerbit Program Ruang Bicara dan Hos.
Beliau juga menyumbang tenaga sebagai Pengajar untuk Kursus Berhadapan dengan Media yang disertai wakil jabatan, institusi kerajaan dan swasta yang terlibat  dengan Media.
“Banyak pengalaman yang tidak ternilai di Bernama, bekerjasama dengan unit dan Jabatan lain seperti ketika menganjurkan Hawana (Hari Wartawan Nasional), UlangTahun ke-50 Bernama, Media Showcase dan banyak lagi.
“Bernama seperti keluarga…bukan sahaja tempat mencari rezeki tetapi sebagai tempat menyemarakkan silaturahim.
“Banyak peluang dan ruang saya perolehi di Bernama termasuk pengalaman, peningkatan kerjaya dan peluang-peluang lain yang tidak ternilai.
“Sesungguhnya, memang berat untuk saya meninggalkan Bernama,” kata Essan yang menerima tawaran sebuah stesen penyiaran sebagai cabaran baharu.
Hari ini juga merupakan kali terakhir beliau meneraju Carta Tular di Bernama Radio bersama Wan Syahrina.
“Pergi bukan meninggalkan tetapi pergi membawa pengalaman.
“Terima kasih Bernama,” kata Essan yang diraikan dalam majlis perpisahan serta Ulangtahun ke-11 Bernama Radio.
Turut hadir Anggota Majlis Penyeliaan Bernama, Datuk Syed Jamil Jaafar yang juga Mantan Penasihat Bernama Radio dan bertanggungjawab mengasaskan stesen radio itu ketika menjadi Pengurus Besar.





No comments:

Post a Comment