Saturday 4 August 2018

Kibar Jalur Gemilang bukti sayang negara...


“Buktikan kesayangan kita kepada negara dengan mengibar Jalur Gemilang,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 peringkat kebangsaan di Padang Kota Lama di Pulau Pinang malam ini.
Program itu menandakan permulaan sambutan Hari Kebangsaan negara dengan tema ‘Sayangi  Malaysiaku’.
Rasa bangga perlu ada pada rakyat untuk mengibar Jalur Gemilang di mana sahaja --- di rumah, bangunan yang sesuai, malah pada kenderaan.  
Dr Mahathir menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat bukan sahaja meraikan pembebasan daripada penjajah malah pembebasan daripada kerajaan kleptokrasi.
"Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka dengan berani keluar berduyun-duyun mengundi, menolak kerajaan kleptokrasi. Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan tetapi rakyat tidak gentar.
"Akhirnya ialah kejayaan luar dari dugaan. Tak banyak negara dapat tukar pemerintahan tanpa rusuhan dan kematian pejuang kerana pengorbanan rakyat begitu besar (maka) pemerintahan dahulu terpaksa akur dan menyerah kuasa.
“Inilah yang kita rayakan hari ini, kemenangan rakyat," katanya.
Sambutan ini pertama kali dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan setelah mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 Mei lepas.
"Kibarkanlah Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta terhadap negara sekali gus bersyukur dengan nasib kita yang begitu baik kerana dapat menukar kerajaan tanpa rusuhan," kata Dr Mahathir.


No comments:

Post a Comment