Thursday 16 August 2018

Ibu pejabat Bernama kekal di Kuala Lumpur...


Ibu pejabat Bernama tidak akan berpindah ke Cyberjaya di mana ia mempunyai tanah seluas 2.47 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh menjelaskan perkara itu pada mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) antara pihak pengurusan dengan Kesatuan Pekerja-pekerja Bernama (KPPB) di Wisma Bernama pagi ini.
Beliau berkata sebuah syarikat pemaju hartanah baru-baru ini telah mengemukakan cadangan untuk pembangunan bersama tanah yang dibeli Bernama itu dengan harga RM5.1 juta pada tahun 2003.
“Syarikat berkenaan akan membuat pinjaman kewangan bagi tujuan itu dan menawarkan 15,000 kaki persegi atau lebih kurang keluasan sebuah banglo yang dikatakan bernilai RM26 juta kepada Bernama,” katanya.
“Tidak ada apa-apa keputusan dibuat,” katanya mengenai cadangan yang dikemukakan oleh syarikat itu pada 9 Ogos lepas.
Syarikat pemaju itu merancang membangunkan dua blok bangunan berkonsep SOHO (small office home office), masing-masing setinggi 16 dan 13 tingkat di atas tanah berkenaan.
Pada mesyuarat itu, Datuk Zulkefli mengulangi saranannya agar kesatuan menggalakkan ahlinya untuk menganggotai Koperasi Bernama bagi sama-sama berusaha mendapatkan banyak faedah.
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab, yang turut hadir, berkata koperasi bercadang membuka “walk-in” kafe di luar lobi Wisma Bernama untuk menyediakan minuman dan makanan ringan.
“Perkara ini masih dalam perbincangan selaras objektif koperasi mencari duit untuk ahli,” kata Datuk Zakaria, yang juga Pengerusi Koperasi.
Menurutnya, ada pihak yang mengemukakan cadangan kepada koperasi untuk mengadakan ‘food truck’ di Wisma Bernama selepas pukul 7 malam.
Ia boleh dikendalikan oleh koperasi atau persatuan ‘food-truck’ berkenaan atau secara usahasama.  
Mesyuarat itu juga dimaklumkan bahawa peruntukan RM100,000 yang disediakan oleh pengurusan bagi pinjaman motosikal  kini mempunyai baki hanya RM1,000 setelah 16 peminjam mendapat kemudahan berkenaan.
Datuk Zulkefli juga mengambil maklum bahawa mesyuarat itu merupakan yang pertama diadakan selepas pembentukan kerajaan baharu yang telah memperkenalkan beberapa perubahan.
Perubahan itu termasuk melibatkan Bernama seperti cadangan menggabungkan Bernama News Channel dengan RTM.
Perbincangan lanjut mengenai perkara itu telah diadakan semalam antara kedua-dua pihak dengan dipengerusikan wakil Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

No comments:

Post a Comment