Wednesday 29 August 2018

Mutawif Raih RM50,000 Pada Musim Haji

Catatan Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Haji Shamsudin Puteh mengenai pelbagai kisah di Tanah Suci amat menarik. Kali ini beliau berkongsi cerita berikut di Facebooknya:

Hari ini berpeluang lagi berbual dengan Hj Abdul Rahman, mutawif yang peramah dan tidak lokek berkongsi pelbagai cerita tentang kehidupan di Makkah.
Lelaki berasal dari Bukit Bunga, Kelantan ini pertama kali saya jumpa dua hari lepas ketika bersantai di lobi hotel penginapan.
Sementara beliau menunggu anggota rombongan yang akan melakukan ziarah ke Hudaibiyah pagi ini, sempatlah saya cungkil sedikit sebanyak riwayat hidupnya di Makkah.
Menurut Abdul Rahman, sudah lebih 40 tahun beliau berulang alik dari Malaysia ke Makkah untuk mencari rezeki sebagai mutawif, terutama pada musim haji dan umrah. Tidak hairanlah maklumat tentang Makkah dan tempat menarik di sekitarnya seolah-olah menjadi perkara hafalannya sahaja.
Menurut Abdul Rahman, beliau pertama kali datang ke Makkah kerana diajak datuknya selepas tamat bersekolah 40 tahun lepas.
Pada mulanya, kata mutawif ini, beliau hampir angkat bungkus untuk kembali semula ke kampung kerana tidak tahan dengan keperitan yang dialami di negara Arab ini. Katanya, perkara paling mencabar baginya ialah cuaca panas dan keadaan tempat tinggal yang tidak selesa dan serba uzur.
Menurut beliau, ketika itu, kipas angin merupakan peralatan mewah dan hanya mampu dimiliki orang berada sahaja.
Pendingin udara jauh sekalilah.
Akibatnya, kebanyakan penghuni di perkampungan datuknya terpaksa tidur di tempat terbuka pada waktu malam supaya tidak bermandi peluh.
Menurut beliau, Makkah dan Madinah hanya mula menikmati pembangunan pesat lebih kurang 15 atau 20 tahun lepas.
Sejak itulah munculnya pelbagai bangunan dan hotel mewah untuk memenuhi keperluan penduduk dan pengunjung.
Begitu jugalah halnya dengan pembesaran Masjidil Haram, yang sehingga kini kelihatan seperti tiada penghujungnya.
Menurut Abdul Rahman, beliau amat bersyukur kerana diberikan Allah ketabahan dan mendengar nasihat datuknya supaya tidak pulang menetap di kampung.
Kata mutawif yang kini sering berulang alik dari Malaysia dan Makkah ini, dalam tempoh dua bulan bekerja pada musim haji kali ini, pendapatannya mencecah     RM50,000. Mewah tu.
Kalaulah ada kesempatan lagi berkunjung ke bumi Makkah yang penuh berkat ini untuk menunaikan umrah, saya pasti mencari Abdul Rahman untuk mendapatkan khidmatnya - mutawif yang mesra dan kaya dengan maklumat.

No comments:

Post a Comment