Monday 27 August 2018

Catatan jalanan sebagai renungan...

Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Haji Shamsudin Puteh berkongsi catatan berikut berdasarkan pengamatannya berada di Tanah Suci.
“Sepanjang 12 hari berada di Makkah, antara rutin harianku ialah duduk bersantai di depan tempat penginapan selepas sarapan sambil memerhati suasana sekeliling. Banyak perkara dan cerita yang dapat dikutip untuk dijadikan renungan. Antaranya:
1. Seorang jemaah dari Tunisia menghampiriku dan meminta ihsan supaya dia dapat menikmati sarapan. Dalam bahasa isyarat dan andaianku, jemaah ini kekurangan wang setelah sebahagian besar wangnya digunakan untuk tambang perjalanannya ke sini bagi menunaikan ibadah haji - tinggi sungguh semangatnya untuk menunaikan rukun Islam kelima.
2. Dalam perbualan antara sekumpulan jemaah dari Malaysia, seorang lelaki mengeluh dengan harga makanan di sini. Katanya, mujurlah TH (Tabung Haji) menyediakan makan minum. Kalau kena keluarkan wang sendiri untuk membeli makanan seperti jemaah dari negara lain, peritlah hidupnya sebagai orang kerja kampung untuk menyara diri selama 40 hari berada di Makkah. Apa tidaknya! Sebungkus bihun goreng macam yang dihidang di kantin sekolah pun berharga SR5. - bertuahnya rakyat Malaysia kerana ada Tabung Haji.
3. Setiap kali selepas solat fardu, kaki lima di sini bertukar menjadi pasar jalanan. Bermacam-macam orang berniaga dan pelbagai barang diniagakan. Paling menarik perhatian ialah penglibatan kanak-kanak dalam perniagaan. Di Malaysia, ramai kanak-kanak sebaya mereka masih makan bersuap dan mempunyi banyak masa untuk bermain dengan pelbagai gadget serta telefon bimbit. - Semoga kanak-kanak berkenaan menjadi saudagar besar di kota Makkah suatu hari nanti.
4. Ramai kawan-kawan bersyukur kerana dapat meninggalkan tabiat merokok dalam tempoh menunaikan ibadah haji. Tetapi ada juga yang tidak dapat membuang tabiat itu. Kumpulan ini dapat dilihat melampiaskan ketagihan mereka di tembok berhampiran tempat penginapan. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
5. Seorang lelaki dari Benua Asia saban hari memujuk orang ramai yang melintas tempat penginapanku supaya membeli tasbih yang didakwanya diperbuat daripada kayu koka. Harganya SR10 seutas. Bagaimanapun, seorang lelaki keturunan Pattani yang bermastautin di sini memberitahuku, tasbih itu diperbuat daripada kayu biasa. Katanya, kayu koka asli sukar didapati dan kalau ada pun tasbih yang diperbuat daripada kayu koka, harganya adalah beribu Rial. - Penipu Ada Di Mana-mana”

No comments:

Post a Comment