Saturday 18 August 2018

Perjalanan suci...

Sebilangan warga Bernama kini berada di Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji. Mereka termasuk Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Azeman Ariffin, Pengarang Meja Advertorial Nasriah Hj Darus,  Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Kamalaila Sulaiman, Penolong Akauntan Kanan Razman Abu Hassan, Masfaliza Masmuda (Audio Visual), Muhammad Radzi  (Unit Kenderaan) dan Kamaruzaman Yusof (Teknologi Maklumat dan Komunikasi).
Seperti biasa, Bernama juga diundang menyertai rombongan media Tabung Haji untuk membuat liputan Haji.
Kali ini wartawan Zarul Effendi Razali dari Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) ditugaskan untuk liputan tersebut.
Turut berangkat ke Tanah Suci ialah penyunting PBDN Shamsudin Puteh yang amat prolifik berkongsi ilmu menerusi tulisannya di ruangan Facebook.  
Semalam nalurinya sebagai penulis diserlahkan dalam catatan bertajuk “Masjidil Haram Tempat Menghulur Sedekah”:
“Hari wukuf semakin dekat. Makkah, khususnya kawasan berdekatan dengan Masjidil Haram, semakin sesak dengan bakal haji. Keadaan subuh tadi begitu meriah dengan para jemaah. Mereka yang berusia lanjut dan bertongkat pun tak mahu melepaskan peluang untuk menunaikan solat subuh Jumaat di masjid itu sambil mengharapkan ganjaran pahala dan keredaan Allah. Semoga Allah merahmati mereka dan kita semua.
Foto Shamsudin Puteh
Di celah-celah kesesakan para jemaah yang baru meninggalkan Masjidil Haram, seorang lelaki sibuk mempelawa orang ramai mengambil roti untuk sarapan daripada kotak yang dibawanya. Memang hebat sambutannya. Di sini, ramai yang sibuk menghulurkan sedekah untuk mencari pahala. Paling tidak pun, mereka mencalit minyak wangi kepada jemaah sebelum menunaikan solat. Ada juga yang menghulurkan kertas tisu kepada jemaah yang melakukan tawaf atau memberi plastik untuk diisi selipar bagi mereka yang memasuki masjid. Ya, semuanya berebut-rebut mengharapkan keredaan Allah melalui sedekah yang termampu dihulurkan.
Berbalik kepada lelaki yang mengedar roti tadi, rupa-rupanya dia adalah jemaah Malaysia yang berasal dari Klang, Selangor. Menurut lelaki bernama Saiful ini, dia terpanggil untuk bersedekah dengan cara begitu kerana mendapati ramai juga jemaah dan bakal haji yang menghadapi masalah untuk mencari makanan. Sesetengahnya tidak tahu tempat untuk membeli dan ada juga yang datang ke sini dengan bajet terhad. Menurut Saiful, setelah melakukannya untuk kali pertama hari ini, dia berasa amat puas dan gembira serta bertekad untuk menambah jumlah roti yang diagihkan esok sambil berharap ada jemaah lain dari Malaysia yang sudi berganding bahu dengannya untuk menyebarkan barangan sedekah.
Mungkin para jemaah Malaysia yang berada di sini boleh memanfaatkan usaha Saiful ini untuk sama-sama bersedekah di bumi dan waktu yang penuh barokah ini.”






No comments:

Post a Comment