Saturday 25 August 2018

Sampan tempat berteduh...


Perasaan sedih menyelubungi wartawan Amrizan Madian ketika Kembara Kemanusiaan Kemboja anjuran Bank Rakyat menyampaikan sumbangan beras kepada penduduk Islam sebuah perkampungan  sampan di tebing Sungai Mekong, Phnom Penh hari ini.
Sebanyak 190 keluarga Kampung Chpa Empov (perkampungan sampan) itu menerima sumbangan tersebut dengan setiap keluarga mendapat 5 kilo beras.
“Mereka tinggal atas sampan…sedihnya,” kata Amrizan yang ditemani jurufoto Hazim Mohammad untuk tugasan itu.
Sumbangan itu disediakan Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al Barakah Bank Rakyat.
Bagi masyarakat kaum Cham itu, sampan adalah segala-galanya – tempat tidur, memasak serta membesar anak-anak sejak bertahun-tahun.
“Dalam sampan itulah mereka menuai kasih dan sayang keluarga,” kata Amrizan.
Mereka asalnya merupakan mangsa peperangan yang telah diusir dari tempat tinggal ketika Khmer Rouge menawan Kemboja pada tahun 1975.
Selepas penyerahan sumbangan beras, rombongan dari Malaysia itu turut menunaikan solat Maghrib dalam “surau terapung” bersama penduduk kampung berkenaan.
Misi Bank Rakyat itu bermula semalam dengan program sempena Aidiladha melibatkan 108 lembu dan 45 kambing korban untuk manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk dari 45 mukim dalam Wilayah Kampot.
Rombongan itu tiba di ibu negara Kemboja, Phnom Penh pada pukul 3 petang ini setelah lima jam perjalanan dengan bas dari Kampot.
“Phnom Penh ni macam Sibu, terletak di cabang sungai Ton Lesap dan Mekong....Kalau Sibu, antara  Rejang dan Batang Igan,” kata Amrizan, yang berasal dari Sarawak.


No comments:

Post a Comment