Friday 31 August 2018

Nota Merdeka Dari Makkah

Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Haji Shamsudin Puteh mengutuskan salam kemerdekaan dari Tanah Suci Makkah kepada semua rakan Facebooknya.
“Semoga sambutan Hari Kebangsaan ke-61 ini meningkatkan lagi kesedaran dan keinsafan kita dalam menghargai kemerdekaan negara. Ini kali pertama saya meraikan Hari Kebangsaan di negara orang. Terasa amat menyentuh perasaan! Bukan semua warga dunia mempunyai negara yang Merdeka, antaranya rakyat Palestin dan suku kaum Rohingya. Betapa bertuahnya kita! Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 ini, saya nukilkan sebuah catatan untuk dihayati oleh anak cucu tersayang ketika menunggu masuknya waktu isyak di kota suci Makkah ini.

Nota Merdeka Dari Makkah
Merdeka itu bukan sekadar laungan
bukan juga hanya acara kemegahan
tetapi
adalah kejayaan dan anugerah
dari sebuah perjuangan penuh bersejarah
para wira bersemangat waja
yang tabah mengharungi medan derita
menentang penjajah berhati durjana
maka
dalam gegak gempita sambutannya
hayatilah dengan sepenuh jiwa
bajailah pohon keinsafan
supaya rendang dan penuh kekuatan
agar langkah tidak tersasar
maruah tidak lagi tercalar
kerana musuh berada di mana-mana
petualang menyusup di segenap ruang
untuk menodai pusaka warisan
di bumi bertuah tinggalan ibunda

--Shamsudin Puteh
Makkah

No comments:

Post a Comment