Monday 13 August 2018

Bernama erat hubungan dengan pengamal media Sudan...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan mengeratkan lagi hubungan dengan pengamal media dari Sudan menerusi penyediaan latihan serta  perkongsian kepakaran dalam bidang kewartawanan.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab berkata, sebelum ini Pusat Kecemerlangan  agensi ini hanya menyediakan latihan kepada kakitangan Bernama sahaja, namun kini bercadang  melebarkan peranannya memandangkan terdapat permintaan daripada agensi kerajaan dan badan korporat.
"Delegasi dari Sudan hari ini diketuai Pengarah Global Innovation Training Centre Malaysia Abdel Mutal Mohamed telah menyatakan hasrat mereka mengenai perkara itu. Mereka berminat untuk mendapatkan khidmat kita (Bernama).
“Menerusi Bernama School of Journalism, kita akan latih mereka yang berminat. Mungkin buat permulaan, kita akan sediakan modul secara berperingkat dan bekerjasama dengan mana-mana universiti,” katanya selepas menerima kunjungan delegasi itu di Wisma Bernama hari ini.
Menurutnya, khidmat yang diperluaskan itu dapat menjana pendapatan tambahan kepada agensi berita yang berusia lebih 50 tahun itu.
“Sudah tentu kita kenakan bayaran kepada mereka yang berminat mendapatkan latihan. Selain jana pendapatan, kita dapat tingkatkan taraf pusat kecemerlangan Bernama,” katanya.
Zakaria berkata sudah tiba masanya Bernama memperluaskan khidmat latihan kepada pihak luar setelah sekian lama menyimpan hasrat itu dengan mengambil kira pelbagai aspek.
“Idea ini bukan yang baharu, cuma kita tiada kepakaran sahaja. Kini kita akan teruskan hasrat itu dengan memberi latihan berkaitan kepada pengamal media khususnya latihan berkaitan penulisan dan penyiaran.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment