Monday 20 August 2018

Bernama taja baju T untuk program korban...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyampaikan sumbangan 60 helai baju-t kepada pihak pengurusan Surau Al-Wardah  sempena program ibadah korban surau tersebut pada Hari Raya Aidiladha, Rabu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama,  Datuk Zulkefli Salleh menyampaikan sumbangan itu kepada Timbalan Pengerusi Surau Al-Wardah, Hasazalan Abu Zarin yang menyifatkan tajaan tersebut akan memeriahkan lagi ibadah korban anggota kariahnya yang menetap di sekitar Apartment Mawar Sari, Keramat AU3.
"Saya yakin 20 ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menguruskan korban tahun ini akan lebih bersemangat dan ceria apabila memakai baju T ketika melakukan kerja-kerja sempena korban nanti," katanya ketika majlis penyerahan sumbangan tersebut di Wisma Bernama. 
Menurut Hasazalan, tahun ini juga lebih meriah kerana kariah mereka akan mengorbankan lima ekor lembu dan akan melakukan kesemua korban tersebut pada hari raya pertama.
"Oleh kerana lembu yang dikorbankan pada tahun ini bertambah, kita jangka lebih ramai akan menerima daging korban iaitu lebih 350 agihan keseluruhan di mana  70 hingga 80 bungkus bagi setiap ekor lembu,” katanya. 
Dalam pada itu, Zulkefli  berkata, sumbangan baju-t tersebut diharap memanjangkan pahala korban kepada semua yang terlibat dalam urusan korban di surau tersebut pada tahun ini. 
"Pemilihan warna biru gelap ini pula diharap memudahkan petugas yang melapah daging di mana mereka tidak perlu bimbang jika baju mereka kotor dengan percikan darah. 
"Kita juga harap baju T yang memaparkan lambang Bernama akan membawa imej Bernama yang hanya memaparkan berita benar dan sekali gus memupuk kebolehpercayaan masyarakat terhadap produk Bernama iaitu menghasilkan berita yang benar," katanya. 
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment