Wednesday 29 August 2018

Jerayawara Bernama bermula...

Jerayarawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dikenali sebagai Bernama Roadshow 2018 bermula hari ini bertujuan mendekatkan agensi berita itu dengan orang ramai selain memperkenalkan produk dan perkhidmatannya.
Program kerjasama antara Jabatan Niaga, Bernama Radio dan Bernama News Channel itu diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61.
Pengurus Kanan Bahagian Jualan Nasional Bernama Norena Yaacob berkata siri jerayawara itu meliputi tujuh lokasi bermula hari ini sehingga 22 Sept ini.
"Antara aktiviti yang diadakan ialah interaksi media sosial, memperkenalkan produk dan perkhidmatan Bernama, sesi gimik pembacaan berita dan kuiz kemerdekaan," katanya.
Antara lokasi jerayawara adalah Lot 10 Jalan Bukit Bintang, Bangsar Village Jalan Telawi, Semua House, Jakel Mall di Jalan Munshi Abdullah dan Terminal Bersepadu Selatan.
Lokasi terakhir adalah di Taman Botani Shah Alam bersempena dengan program larian Bernama Gembo-Gembo Run yang akan diadakan pada 22 Sept ini.
Menurut Norena, terdapat perancangan masa hadapan bagi Bernama mengadakan jerayawara sedemikian di negeri lain.
"Ramai maklum bahawa Bernama merupakan agensi berita namun kita juga menyediakan perkhidmatan lain seperti Bernama Images dan Media Relations and Event Management. Jadi roadshow sebegini mampu memperkenalkan produk Bernama kepada orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif (Pengurusan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mustafa Mohd Nor yang menyertai siri aktiviti pengedaran Jalur Gemilang sekitar Kuala Lumpur anjuran DBKL turut singgah ke program Bernama Roadshow 2018.
Sebelum itu, beliau singgah di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti Berjaya Times Square bersama 75 pegawai DBKL dengan bas KL Hop-On Hop-Off bagi menyemarakkan bulan kebangsaan dengan aktiviti mengedarkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu patriotik.
“Pada masa sama, premis perniagaan turut digalakkan memasang Jalur Gemilang bagi mewujudkan suasana kemerdekaan di samping menghargai pengorbanan pejuang terdahulu,” kata Mustafa.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment