Thursday 23 August 2018

Peluang belajar bahasa Thai...


Bertugas di Langkawi mendorong Pewarta Bernama Hamdan Ismail untuk mempelajari bahasa Thai.
“Saya berazam untuk menguasai bahasa Siam sebagai bahasa ketiga…berpindah ke Langkawi membuka peluang sebab Thailand dekat dengan Langkawi,” katanya hari ini.
“Satu cara dengar siaran radio atau televisyen Thai,” katanya mengenai cara yang dilakukannya untuk mempelajari bahasa itu.
“Kedua, ambil peluang bergaul dengan masyarakat Siam tempatan,” kata Hamdan yang sudah empat tahun berkhidmat di Langkawi.
Menurutnya, keupayaan berbahasa Thai akan memudahkan beliau berkomunikasi jika ada keperluan khususnya mengumpul maklumat untuk bahan berita.
Beliau bersetuju bahawa liputan di Langkawi akan bertambah sibuk memandangkan ia kawasan parlimen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sibuk sekiranya ada penganjuran acara seperti LIMA, Ironman dan sebagainya… September ni ada PATA Travel Mart,” kata Hamdan, 50, yang berasal dari Sibu, Sarawak.
“Biasanya cuti sekolah seperti sekarang ini akan berlaku peningkatan pelancong ke Langkawi," katanya yang menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di Langkawi.
Ditanya apa aktiviti atau perkara yang beliau boleh cadangkan kepada kawan-kawan dari Bernama yang hendak berkunjung ke Langkawi, Hamdan berkata:
“Kalau nak ke Langkawi bolehlah cuba SkyCab (cable car), terokai Oriental Village, pergi pulau-pulau sekitar Langkawi (jangan miss pergi Pulau Dayang Bunting), Pasar Malam Langkawi, Telaga Tujuh, Wildlife Park,” katanya.
Bagi beliau sendiri, tempat yang menarik minatnya di Langkawi ialah Paradise 101 --Pulau kecil buatan manusia di Teluk Burau.
“Pulau kecil so tak terlalu ramai orang pergi…ada aktiviti-aktiviti pantai tapi saja untuk baring atas kerusi malas tu yang menenangkan,” katanya yang sebelum ini bertugas di Bernama Kuching.
Setelah lama berkhidmat di Langkawi, Hamdan berkata “ada masanya seronok,  ada masanya membosankan.”
“Yang menariknya dapat bekerja dalam keadaan orang lain nak bercuti,” kata beliau yang menyertai Bernama pada 16 Nov 2005.
Beliau menjelaskan keseronokan bekerja dirasai “kalau ada produk baharu pelancongan atau pergi ke tempat pelancongan yang belum pernah pergi kat Langkawi.”
Menurutnya, antara produk baharu pelancongan di pulau lagenda itu ialah Langkawi Nature Park yang dirasmikan Tun Dr Mahathir baru-baru ini dan akan datang taman tema Water Kingdom Park.
Sebagai wartawan, beliau perlu sentiasa bersedia membuat liputan sepertimana kejadian ribut dan banjir kilat yang melanda Langkawi awal pagi ini.
Sebanyak 24 buah rumah, sebuah surau dan 10 buah kereta rosak dalam bencana di Kampung Kuala Melaka pada pukul 5.33 pagi itu.

No comments:

Post a Comment