Monday 20 August 2018

Bernama ceriakan anak-anak yatim....

Bernama menceriakan anak-anak yatim sebuah rumah kebajikan di Banting, Selangor Darul Ehsan, hari ini apabila membawa sumbangan pakaian lelaki dan perempuan untuk mereka.
Program Ziarah Prihatin itu diadakan di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan, Kampung Manggis yang diasaskan oleh Datuk Ibrahim Osman pada tahun 2006.
Datuk Ibrahim, seorang bekas komando tentera, menyambut kedatangan rombongan Bernama yang diketuai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain, yang juga Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB).
Program itu anjuran bersama InfoLibNews, Unit Komunikasi Korporat Bernama, Kempen 3B (Baca Bersama Bernama), KKB dan Akrab Bernama.
Selain 30 kotak pakaian sumbangan warga Bernama, rombongan itu juga menghadiahkan lima buah rak buku kepada rumah kebajikan itu.
Ada kira-kira 40 orang penghuni rumah itu yang berumur dari setahun hingga 17 tahun.
Sejak ditubuhkan, ada penghuninya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Petronas dan Universiti Tun Hussein Onn.
“Kita buatkan perpustakaan mini untuk mereka…kita bawa rak buku...semasa datang dahulu, kami dah beri buku dan merekapun memang ada buku sumbangan persendirian,” kata Pengurus InfoLibNews Puan Hasnita Ibrahim.
Kunjungan itu merupakan lanjutan kepada Program Ziarah Ramadan BERNAMA ke rumah kebajikan berkenaan Jun lepas.
Datuk Mokhtar berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada program amal bakti Bernama dan Program 3B selain bertujuan menanam sifat rajin membaca dalam kalangan penghuni rumah berkenaan.
“Sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lepas, Bernama hadir ke sini untuk memberi sumbangan dan kami melihat ada beberapa perkara yang kami masih boleh sumbangkan,” katanya. 
Datuk Ibrahim, 76, berterima kasih kepada  Bernama atas sumbangan berkenaan yang sedikit sebanyak dapat membantu menambah keriangan penghuni rumah itu.
Menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada agensi kerajaan bagi mengendalikan rumah anak yatim ini yang mempunyai seramai 38 penghuni berusia dari lima hingga 15 tahun.
“Untuk mengendalikan rumah ini ia memerlu kos yang agak tinggi, kira-kira RM15,000 sebulan. Kami tiada menerima apa-apa wang bantuan daripada agensi kerajaan dan sumber kewangan kami adalah daripada penderma dan wang saku saya sendiri.
“Dengan sumbangan daripada Bernama ini ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan kami,” katanya.









No comments:

Post a Comment