Tuesday 28 August 2018

Rencah Pagi Di Kota Suci

Penyunting Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Haji Shamsudin Puteh mencatatkan pengalaman bersarapan pagi di Tanah Suci.

Oleh kerana kebanyakan tempat penginapan jamaah haji Malaysia di Makkah tidak menyediakan sarapan, maka setiap kali selepas solat subuh, masing-masing sibuk mencari makanan.
Perkara ini tidak menimbulkan masalah sekiranya ada wang.
Sudah menjadi pemandangan biasa di sini, setiap pagi, penduduk tempatan yang terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu Pattani, menjaja makanan untuk keperluan para jemaah.
Oleh itu, mereka tidak perlu meronda jauh-jauh mencari makanan untuk sarapan.
Walaupun rasanya tidak sama seperti yang terdapat di tanah air, tetapi cukuplah untuk memenuhi selera dan melepaskan kerinduan kepada masakan Melayu.
Antara makanan yang dijual ialah nasi lemak, nasi berlauk (di sini disebut nasi ikan), nasi himpit, pulut ikan masin, karipap, buah melaka dan sebagainya.
Buah-buahan segar juga dijual seawal pukul 5 pagi.
Kebanyakannya dijual pada harga SR5 sebungkus. Kalau dibandingkan harganya dengan di Malaysia, boleh dianggap mahallah dari segi kuantiti.
Tetapi, itulah hakikat yang perlu diterima.
Bagaimanapun, pagi ini saya pilih roti dengan dal kacang kuda untuk sarapan.
Inilah antara rencah kehidupan di kota suci ini setiap pagi.

No comments:

Post a Comment