Tuesday 31 July 2018

Kebun kita....


Hasrat untuk melakukan aktiviti berkebun petang ini terpaksa diketepikan apabila langit mendung setelah ramai yang bersiap "turun padang".
Sejak beberapa hari lepas pun, hujan kerap turun.
“Cuaca tak mengizinkan minggu ini untuk kami berkebun,” kata Yang Dipertua Kebun Bandar Bernama (KBB) Abas Othman.
KBB telah mewar-warkan di ruangan Facebooknya dengan mengajak warga Bernama menyertai aktiviti itu yang sepatutnya bermula  5 petang.
Peralatan seperti cangkul, penggembur tanah, sarung tangan dan pencakar sampah disediakan oleh KBB untuk aktiviti berkebun itu yang dijalankan di seberang sungai berhadapan Wisma Bernama.
Mereka yang terlibat telah mendapat pelepasan dari ketua jabatan dan unit masing-masing.
Selain sebagai senaman, aktiviti itu dapat merapatkan hubungan warga Bernama, mendidik mereka kepentingan menanam pokok dan mencintai kehijauan alam dengan berkebun.
“Berbakti pada tanah,  pasti akan ada hasilnya,” kata Suhendri Mohd Daud yang pertama kali menyertai aktiviti itu minggu lepas.
Suhendri berkata sambutan amat mengalakkan dan ramai petugas memberi biji benih dan anak pokok untuk ditanam di Kebun Bernama.
Aktiviti itu diadakan untuk menyertai pertandingan kebun kejiranan bandar 2018 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bernama merupakan satu pemegang taruh tapak yang disediakan oleh DBKL sepanjang 150 meter berhadapan Sungai Bunus.
“Antara tanaman yang diusahakan ialah ulam raja, bendi, kelapa, daun kadok, pisang, serai, nenas, daun kunyit, daun pandan, limau purut limau kasturi, lengkuas, bidara, nona, mempelam, jambu, mulberry,  dan tenggek burung,” katanya.
“Jika ada cadangan untuk penambahbaikan silakan bagitau kami,” kata Abas.


No comments:

Post a Comment