Friday 27 July 2018

Sayangi Malaysiaku...


Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’, Putrajaya dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.
Ini bagi meraikan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.
“Kerajaan pilihan rakyat ini akan memastikan kegemilangan baharu akan dilakar dan dikecapi oleh semua rakyat dari sekarang dan seterusnya pada masa hadapan,” katanya pada sidang media sempena Hari Kebangsaan 2018 serta memperkenalkan logo Hari Kebangsaan 2018 dan lagu tema ‘Kita Punya Malaysia’ di Putrajaya hari ini.
Logo ‘Sayangi Malaysiaku’, ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam adalah antara 632 penyertaan yang diterima kementerian untuk dipilih sebagai logo rasmi Hari Kebangsaan 2018.
Katanya logo tersebut yang dipilih sendiri Perdana Menteri pada 25 Julai lepas, menggambarkan simbol rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan, dengan satu bentuk hati di hadapan menyatukan mereka.
“Logo ini membawa maksud warganegara Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian, harmoni, seia sekata, bersatu padu dan terpahat perasaan kasih saying yang kukuh kepada negara Malaysia,” katanya.
Selain itu, katanya lagu tema Hari Kebangsaan 2018 bertajuk ‘Kita Punya Malaysia’ nyanyian kumpulan Bunkface, dicipta oleh vokalisnya, Sam.
Berbeza dengan genre lagu tema Hari Kebangsaan sebelum ini, Gobind berkata lagu berentak pop yang menarik dan bertenaga itu turut dipilih Dr Mahathir daripada beberapa lagu yang dihantar untuk pemilihan.
“Lagu ini menggambarkan Malaysia ini kita punya dan kita perlu bersatu dalam kepelbagaian serta mempunyai jati diri yang tinggi, berganding bahu dalam membangunkan negara tercinta,” katanya.
Gobind berkata sambutan akan bermula di Padang Kota Lama, Pulau Pinang dengan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang akan disempurnakan Perdana Menteri pada 4 Ogos.
“Pulau Pinang dipilih kerana kita mahu kempen jelajah kibar jalur gemilang bermula di utara (Semenanjung Malaysia) ke Putrajaya dan seterusnya berakhir di Sabah untuk sambutan Hari Malaysia 2018,” katanya.
Pellbagai acara diatur sepanjang tiga hari dari 3 hingga 5 Ogos di Pulau Pinang seperti pertunjukan bunga api, kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pameran Caring Bridge dan MyMerdeka, karnival trak makanan, larian merdeka dan jualan My Best Buy FAMA.
Gobind berkata pelepasan program kembara Merdeka Jalur Gemilang yang menjelajah ke seluruh negara bermula di Pulau Pinang pada 4 Ogos dan dijadualkan tamat di Putrajaya pada 31 Ogos.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment