Tuesday 24 July 2018

Media nikmati semula kemudahan buat laporan di Parlimen...

Sejak persidangan Dewan Rakyat bermula minggu lepas, Yang Dipertuanya Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengembalikan beberapa keistimewaan yang sebelum ini ditarik balik oleh speaker terdahulu, antaranya kebenaran untuk berada di lobi parlimen.
Di samping itu,  kuota wakil bagi setiap organisasi media yang membuat liputan  juga dimansuhkan selain kemudahan untuk mengadakan sidang media disediakan.
Mengulas perkara itu pada  pertemuan  khas dengan pengarang media cetak dan elektronik di  bangunan  Parlimen hari ini, Mohamad Ariff meminta agar warga media memanfaatkan kemudahan yang diberi sebaik mungkin.
Beliau yang mengajak warga media bersama-sama menjaga dan memartabatkan institusi parlimen  negara, berkata tidak ada negara di dunia ini yang membenarkan wartawan mereka  duduk  secara  “sesuka hati” di lobi parlimen mereka.
“Jadi saya menyeru agar pengamal media memberi kerjasama untuk menangani masalah tersebut dan memastikan agar suasana di lobi  parlimen sentiasa dalam keadaan yang kondusif dan terkawal,” katanya.
Mohamad Arif berkata walaupun beliau dan dua timbalannya optimis untuk terus membenarkan pihak media berada di lobi parlimen, kemudahan tersebut akan ditarik balik jika petugas media masih tidak mengendahkan peraturan dan arahan yang ditetapkan.
Beliau berkata pihaknya akan terus memantau suasana di parlimen dan berbincang serta mengkaji lebih mendalam keputusan-keputusan yang telah dibuat berhubung perkara tersebut.
“Saya mohon untuk diberikan masa yang mencukupi bagi kami membuat keputusan sama ada untuk mengubah atau mengekalkan arahan-arahan tersebut,”katanya.
Pada majlis itu, Mohamad Ariff yang baru  dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Isnin lepas turut menyampaikan penghargaan kepada pengamal media atas sokongan yang diberikan serta berharap hubungan  baik dan erat itu dapat  dipertingkat.
-- BERNAMA 



No comments:

Post a Comment