Thursday 19 July 2018

MB Perak kunjungi Bernama...


Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berada di Wisma Bernama hari ini untuk ditemubual oleh Bernama Radio.
Beliau turut ditemui Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zulkefli Salleh selepas program radio berkenaan.
Ahmad Faizal memberitahu Bernama bahawa beberapa projek berkos tinggi di Perak yang diumum kerajaan Persekutuan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas akan dikaji semula.
Tanpa menamakan projek-projek berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri berpendapat peruntukan bagi sesetengah projek yang diumumkan itu baik digunakan untuk pembangunan lebih seimbang merangkumi kesemua daerah.
"Kita dapati beberapa projek mega (di Perak) diumum pentadbiran dahulu memakan belanja begitu besar ...bagi pihak kerajaan negeri, kami memikirkan jika kerajaan Persekutuan ingin membuat perbelanjaan begitu besar, kita mahu ia digunakan untuk pembangunan di kawasan lain juga mengikut keutamaan," katanya.
Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan berbincang mengenai projek-projek berkenaan dengan kerajaan Persekutuan bagi menentukan hala tuju pembangunan negeri.
"Dalam keadaan negara terbeban dengan begitu banyak hutang, masalah yang kita warisi daripada pentadbiran sebelum ini, maka kita hari ini perlu lebih bertanggungjawab dalam setiap sen kita nak belanjakan, ia mesti dibelanjakan dengan memikirkan kepentingan rakyat dan ikut kemampuan kita," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment