Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
berhasrat menjalin kerjasama lebih erat dengan Pertubuhan Berita Nasional
Malaysia (Bernama) bagi melonjakkan namanya sebagai universiti pendidikan
nombor satu di rantau ini.
Perkara itu dinyatakan dalam sesi
perbincangan antara universiti itu yang diwakili tujuh kakitangan Bahagian
Komunikasi Korporat dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Datuk Zakaria
Abdul Wahab sempena lawatan kerja UPSI ke ibu pejabat agensi berita itu hari
ini.
Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat
UPSI Mohd Husyaini Hashim berkata lawatan itu merupakan antara inisiatif dalam
pelan strategik jabatannya untuk menjadikan UPSI, yang merupakan institusi
pendidikan tertua di Malaysia, sebagai universiti mesra media.
"Niche kami (UPSI) ialah pendidikan
dan untuk menyebar luaskan lagi maklumat berkenaan perkembangan pendidikan,
penyelidikan, dan penerbitan yang ada di UPSI, kami perlukan pasukan media dan
kita tidak boleh memandang rendah terhadap peranan media.
"Jadi hari ini kami berbincang
dengan Bernama untuk mencari ruang dan peluang untuk menjalinkan kerjasama yang
lebih erat untuk sama-sama melonjakkan nama UPSI sebagai universiti pendidikan
nombor satu di rantau ini,” katanya selepas perbincangan itu.
Pada perbincangan itu, UPSI turut
menyatakan hasrat untuk menghantar pelajar mereka ke Bernama bagi menjalani
latihan berkaitan pengurusan media termasuklah pengendalian peralatan penyiaran
serta penulisan berita.
Datuk Zakaria berkata Bernama sangat
gembira dan berbesar hati dapat membantu UPSI meningkatkan peranan media
mereka.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment