Sunday 15 October 2017

Gedung maklumat...

Pengetua pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Mohd Zahid Mahmood memilih untuk muncul di Bernama News Channel (BNC) walaupun mendapat permintaan daripada stesen-stesen televisyen utama yang lain.
Masing-masing mahu mengetahui perkembangan pusat tahfiz tersebut ekoran kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua gurunya pada 14 September lepas.
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata beliau dimaklumkan oleh Mohd Zahid bahawa Bernama menjadi pilihannya kerana menghargai tindakan para pegawai kanan agensi berita ini mengunjungi pusat tahfiz tersebut untuk menyerahkan sumbangan warga Bernama pada 2 Oktober lepas.
Beliau bukan sahaja ditemubual dalam program NINE11 tetapi diwawancara oleh wartawan Bernama selepas itu.
Peranan Bernama sebagai gedung maklumat kini semakin terserlah.
Kalau dahulu tumpuan kita adalah keluar untuk mendapatkan berita, namun semakin kerap sumber berita yang datang ke Bernama.
Trend ini ketara dengan adanya saluran radio dan televisyen sebagai tambahan kepada perkhidmatan ‘wires’ Bernama mencakupi berita dan foto.
Ramai orang kenamaan dan ‘newsmakers’ datang ke Bernama untuk menjadi tetamu Bernama Radio serta program terbitan BNC seperti NINE11 dan Ruang Bicara.
Slot ‘Inspirasi Pagi’ dalam program NINE11 banyak menampilkan pengalaman orang ramai yang boleh menjadi pendorong kepada orang lain.
Kejayaan sepasang suami isteri berbasikal menjelajah 14 negara menuju Makkah, kecekalan seorang jurutera mengharungi kehidupan setelah kehilangan separuh kakinya dalam kemalangan jalan raya serta pengalaman seorang atlet berkerusi roda yang memenangi pingat emas dalam Sukan Para Asean merupakan antara kisah yang diketengahkan dalam program tersebut.
Kita tidak perlu pergi jauh untuk mencungkil di merata tempat bagi mendapatkan cerita terutama berbentuk ‘human interest’.
Daripada perbualan menerusi program televisyen serta radio itu pun sudah boleh dijadikan berita tanpa perlu menemubual lanjut sumber berkenaan melainkan ada perkara lain atau ingin mendapatkan penjelasan.
Penggemblengan bahan antara pelbagai perkhidmatan bukan sahaja selaras dengan strategi ‘lautan biru” malahan memberi nilai tambahan kepada produk Bernama.
Program tetap mengenai kesihatan, hal ehwal pengguna dan kemasyarakatan yang disiarkan Bernama Radio boleh memberikan impak tambahan jika ia turut dilaporkan menerusi platform berita. Begitu juga  dengan program BNC.
Malahan untuk jangka panjang, bahan multimedia yang telah dimulakan oleh Jabatan Pengarang mungkin boleh digunapakai oleh BNC.
Begitu juga dengan perkhidmatan foto Bernama yang baharu dibekalkan dengan   kamera canggih untuk kegunaan para jurufotografi.
Selain foto ‘still’, mereka telah diminta menghasilkan ‘video’ bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mula menumpukan kepada digital.
Ini adalah antara usaha Bernama untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan pelanggan sebagai “gedung maklumat” agar terus relevan dalam era digital. 

No comments:

Post a Comment