Saturday 28 October 2017

Liputan Bajet…

Saudara Shamsudin Puteh, yang baharu menamatkan perkhidmatan sebagai penyunting Bernama, mencatatkan mengenai Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam.
Walaupun ia perkara biasa setiap tahun, namun bagi beliau ia sesuatu yang luar biasa. Ini kerana ia adalah Bajet pertama sejak tahun 1977 beliau tidak bekerja pada hari pembentangannya, yang dulu disebut sebagai Belanjawan.
“Tugasku semasa bekerja di Jabatan Penerangan Malaysia dulu termasuklah membantu mengendalikan penerbitan buku mengenainya yang perlu disiapkan dalam tempoh 48 jam.
“Apabila bekerja dengan Bernama pula, iaitu selama lebih kurang 23 tahun, bertugas pada hari pembentangan Bajet adalah suatu kemestian bagiku. Bagaimanapun, suasana bekerja pada hari berkenaan sungguh meriah, walaupun sibuk.
Paling seronok ialah kami adalah antara orang yang lebih dahulu tahu tentang sesuatu perkara atau reaksi orang ramai tentang Bajet yang dibentangkan sebelum disebar kepada pembaca.
Tetapi, tahun ini, aku ketinggalan semua itu kerana tidak lagi bekerja. Segala cabaran yang dilalui kini terakam abadi di lembaran kenangan, sambil mengurus bajet keluarga yang sungguh mencabar,” demikian catatannya dalam Facebook hari ini.
Benarlah, bertugas pada hari pembentangan Bajet adalah sesuatu yang menyeronokkan dan penting bagi Bernama yang perlu melaporkan dengan cepat dan tepat.
Malah, persediaan rapi dibuat termasuk mengadakan kursus ‘Persediaan Liputan Belanjawan’ seperti yang dikendalikan oleh mantan Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong pada 17 Oktober lepas.
Semasa mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama pada 23 Okt, Pengarang Meja Berita Ekonomi Siti Hawa Othman memaklumkan bahawa Perdana Menteri akan membuat pembentangan Bajet 2018 pada hari Jumaat, 27 Okt 2017 pukul 3.30 petang.
Para petugas yang dipilih untuk memproses ucapan bajet akan dikuarantin di Bilik Latihan, Tingkat 12 semasa pembentangan tersebut.
Ini pertama kali ucapan bermula pada 3.30 petang memandangkan waktu Maghrib masuk pada 7 malam.
“Kami mahu memastikan ada masa untuk menunaikan solat Asar, dan tidak berpanjangan kepada waktu Maghrib. Kami tidak boleh mengubah waktu Maghrib namun masa pembentangan Bajet boleh ditukar," kata Datuk Seri Najib.
Para petugas yang dikuarantin perlu menandatangani Akujanji untuk tidak menyebarkan intipati Bajet sebelum ia dibentangkan.
Mereka juga tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit.
Malahan tempat duduk masing-masing telah ditandakan bagi mempastikan tahap integriti yang tinggi.
Berpandukan siaran langsung televisyen, berita daripada ucapan itu dikeluarkan dengan pantas secara berterusan sepanjang hampir tiga setengah jam dibentangkan Datuk Seri Najib.
Selain pasukan di Bilik Berita yang ditugaskan mendapatkan reaksi terhadap bajet itu, para wartawan Bernama yang bertugas di Parlimen juga melaporkan mengenai bajet tersebut.
Bagi memberi impak kepada liputan bajet, Bernama menyediakan ruangan khas Bajet 2018 dalam laman web www.bernama.com.

No comments:

Post a Comment