Friday 27 October 2017

Tema ketuhanan beri ketenangan bagi Yassin...

Tema berunsurkan ketuhanan, spiritual dan falsafah kehidupan sentiasa menjadi pilihan utama penyanyi dan komposer terkenal, Muhammad Yassin Sulaiman atau Yassin dalam menghasilkan lirik lagunya.
Beliau berkata tema itu dipilih kerana ia sinonim dengan kehidupan seharian manusia  di samping dapat memberi ketenangan kepada pendengar dalam menghayati setiap lirik lagu ciptaannya.
Dalam album terbaharunya ‘Dialah’ yang turut mendapat sentuhan penyanyi Faizal Tahir, beliau memuatkan unsur spiritual khusus buat peminatnya yang sentiasa  memberi sokongan terhadap lagu-lagu berirama nasyid.
“Ada sembilan lagu dimuatkan dalam album ini yang akan diterbitkan oleh Warner Muzik untuk dikeluarkan satu persatu dan setakat ini saya telah keluarkan dua lagu.
“Lagu pertama bertajuk ‘Muzik’. Baru-baru ini lagu ‘Dialah’ telah dikeluarkan dan daripada situlah akhirnya akan keluar satu album nanti...Insya-Allah,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program NINE11 Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama hari ini.
Yassin memulakan kerjaya seninya menerusi kumpulan nasyid Brothers pada 1995 sebelum meneruskan karier secara solo.
Lagunya ’Mimpi Laila’ melonjakkan nama beliau sebagai penyanyi dan komposer apabila memenangi gelaran juara keseluruhan dalam Anugerah Juara Lagu 2001 manakala album solo keduanya ’Salsabila’ pernah memenangi anugerah Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-10 pada 2003.
Penyanyi yang turut mendapat perhatian menerusi lagu popular ciptaannya seperti ’Wassini’, ’Lagu Rindu’ dan ’Alhamdulillah’ itu kini lebih selesa menumpukan kepada bidang penerbitan dan penciptaan lagu. 
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment