Peranan Undang dalam sistem adat perpatih
di Negeri Sembilan diperjelaskan oleh Undang Luak Johol Datuk Johan
Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah semasa kunjungannya ke Wisma Bernama hari
ini.
Dalam pertemuan dengan para pegawai kanan
Bernama, beliau berkata Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong,
Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar
Tampin berperanan sebagai pemerintah bersama dengan Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan.
Undang Luak juga berperanan menyampaikan
watikah pelantikan pegawai-pegawai agama dan masjid di luak masing-masing serta
menentukan kadar zakat fitrah Negeri Sembilan bagi sesuatu tahun.
Muhammed, yang dilantik sebagai Undang
Luak Johol ke-15 pada 27 Mac tahun lepas, diiringi isteri Tok Puan Faridah
Hanom Jaafar serta 17 anggota rombongan.
Kedatangan mereka disambut Pengerusi
Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, Ketua
Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab serta para pegawai dan kakitangan Bernama.
Beliau juga menyatakan mengenai usahanya
menubuhkan Yayasan Undang Johol bagi membantu
golongan sasar yang memerlukan bantuan kebajikan.
Yayasan itu merupakan satu platform
neutral yang mampu menggerakkan pembangunan lestari dan transformasi dalam
bidang sosial serta ekonomi rakyat bukan hanya di jajahan Luak Johol malah di
kawasan lain di seluruh negara.
"Dalam soal pendidikan contohnya,
kita lihat masih ramai pelajar memerlukan bantuan dari sudut kewangan dan
yayasan ini akan membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa, fahaman
siasah (politik) dan agama," katanya.
Muhammed berkata pihaknya kini sedang
menunggu pengeluaran sijil pendaftaran rasmi daripada Bahagian Hal Ehwal
Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri sebelum yayasan itu dapat beroperasi.
Dalam pada itu, Muhammed berkata Balai
Undang Luak Johol ingin menjalin kerjasama dengan Bernama untuk menerbitkan
buku 'coffee table' bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat
mengenai sejarah dan peranan institusi Undang Luak Johol.
"Bernama sebagai sebuah agensi
berita yang disegani boleh membantu menyebarkan pengetahuan kepada masyarakat
khususnya di luar Negeri Sembilan kerana ramai yang tidak mengetahui mengenai
Undang Luak," katanya.
Beliau turut menyuarakan hasrat menjalin
kerjasama dengan Bernama dalam bidang telekomunikasi bagi meningkatkan capaian
informasi kepada rakyat.
Azman pula berkata Bernama bersetuju
secara prinsip mengadakan kerjasama menerbitkan buku mengenai institusi Undang
Luak Johol yang telah wujud sejak 294 tahun yang lalu.
"Bernama sememangnya mempunyai
pengalaman luas dalam menerbitkan buku termasuk mengenai pemimpin-pemimpin
negara," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment