Thursday 19 October 2017

'Turun Padang' Tinjau Permasalahan Agensi, Jabatan


Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited meneruskan inisiatif kerajaan dalam merakyatkan perkhidmatan awam dengan 'turun padang' meninjau permasalahan agensi dan jabatan di bawahnya.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM Datuk Samsuni Mohd Nor berkata selain meninjau permasalahan yang dihadapi agensi dan jabatan, inisiatif tersebut merupakan platform mempererat jalinan silaturahim antara pemimpin dalam perkhidmatan awam dan petugas di peringkat akar umbi.
"Lawatan turun padang ini selaras dengan saranan KSN (Ketua Setiausaha Negara), ia satu konsep penting yang kita ambil untuk mengambil berat permasalahan dan kebajikan agensi dan jabatan yang berada di bawah KKMM," katanya selepas sesi taklimat bersama pemimpin tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersempena lawatan beliau dan rombongan KKMM ke Bernama hari ini.
Taklimat turut disertai oleh Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Samsuni berkata ini merupakan kali pertama beliau mengadakan lawatan ke Bernama selepas menyertai KKMM sejak Jun tahun lalu.
Beliau berkata selain Bernama, beliau dan rombongan daripada kementerian telah mengadakan sesi lawatan ke agensi kementerian yang lain iaitu ke Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta merancang untuk ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas ini.
Dalam pada itu Samsuni meminta warga Bernama mengekalkan integriti sebagai penyalur berita dan maklumat tepat kepada pelanggan dan orang awam.
"Seperti kita tahu Bernama menjadi rujukan pelbagai pihak untuk mendapatkan berita sahih dan tepat, gunakan peluang kepercayaan ini untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara," katanya.
Pada lawatan itu, beliau turut menyertai sesi taklimat dan perkongsian pengalaman dengan petugas Bernama.
Rombongan kemudian turut mengadakan lawatan ke Jabatan Pengarang, Bernama News Channel (BNC) dan Bernama Radio.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment