Saturday 7 October 2017

Senyuman terkejut Iqram...

Pegawai Berita Bernama News Channel (BNC) Mohd Noor Iqram Rosli senyum melirik menerima ucapan tahniah daripada para peserta lain Program Transformasi Minda (PTM) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Malaysia yang berakhir semalam.
Senyuman itu lebih bermakna pada Hari Senyum Sedunia semalam setelah Iqram diumumkan sebagai peserta terbaik kursus selama enam hari itu yang diadakan di Institut Latihan FAMA Port Dickson.
“..senyuman terkejut sebenarnya, tak sangka ada juga orang undi saya untuk jadi peserta terbaik sebab 40 peserta kursus yang hadir tu semua hebat-hebat..semua pengalaman yang luar biasa,” katanya hari ini.
Beliau tidak tahupun bahawa semalam merupakan Hari Senyum Sedunia yang disambut setiap Jumaat pertama bulan Oktober sejak 1999.
Tapi apa yang beliau tahu ialah kursus tersebut amat baik dan bermanfaat kerana banyak memberi pendedahan mengenai perkhidmatan awam.
“Apa yang patut dilakukan dan tidak boleh dilakukan dan kursus ini juga mengeratkan hubungan silaturahim antara semua peserta dari jabatan dan agensi yang berbeza,” katanya.
Beliau merupakan antara 12 petugas Bernama yang menyertai PTM -- kursus wajib lantikan baru ke dalam perkhidmatan awam sebelum mereka boleh disahkan dalam jawatan.
Iqram menyertai Bernama hampir tiga tahun bermula sebagai kerani secara kontrak di biro Kelantan dan menjadi stringer selepas setahun.
Semasa menjadi stringer, beliau memenangi tempat ketiga dalam satu pertandingan penulisan berita anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan menerusi laporannya mengenai banjir.
Lulusan sarjana muda komunikasi dari Universiti Teknologi MARA (UITM) itu kemudian berpindah ke Kuala Lumpur apabila menerima tawaran sebagai wartawan kadet pada tahun 2016.
Selepas sebulan di Meja Berita Am, Iqram ditukarkan ke BNC sehinggalah sekarang dan begitu gembira dengan kerjanya.
“Best ...sebab banyak pendedahan yang diberikan.. pengalaman yang menarik ditimba. 
“Sebelum ni tak pernah pergi tempat-tempat kawasan bergolak tapi bila BNC bagi peluang, saya dapat menjejakkan kaki ke tempat MILF di Filipina..itu pengalaman yang paling menarik,” kata Iqram, 26 tahun.
Walaupun berasa takut dan gerun kerana tidak tahu apa yang akan berlaku di tempat itu, namun “saya berserah dan redha demi tugasan”.
“Menariknya ialah saya dapat melihat sendiri penduduk ni memang hidupnya kerana Islam, jihad...sanggup berjaga malam demi menjaga kawasan mereka daripada diceroboh anasir seperti Daesh, Abu Sayyaf.
“Kerjasama mereka yang bagus, benteng pertahanan mereka yang mantap...mereka bekerja siang malam menjaga kawasan tanpa mengharapkan duit..
“Semuanya ikhlas walaupun bekalan elektrik tiada, hanya guna generator pada kawasan-kawasan tertentu dan perigi..
“tapi mereka masih melakukan kehidupan seperti biasa...kalau dilihat kehidupan mereka itu (seolah) pada tahun 50, 60 yang dulu..terlalu miskin,” katanya.
Iqram berkata beliau berada di sana selama empat hari dan pergi dua kali -- tahun lepas dan tahun ini -- ke tempat yang sama dalam kawasan Zamboaga mengikuti pertubuhan bukan kerajaan untuk mengagihkan daging aqiqah sumbangan rakyat Malaysia.
“Saya ikut mereka tu sebab saya nak buat side story, ambil peluang yang dberikan..
“Rugi kalau saya tak ambil peluang tu sebab bagi saya kalau kita dapat pergi assignment oversea, sebolehnya cari side story,” katanya yang merasakan turut mendapat iktibar daripada pengalaman seumpama itu.
“Saya rasa bersyukur sebab di Malaysia masih aman dan tenang jika nak dibandingkan tempat lain...saudara sesama Islam kita masih ada yang bersengkang mata jaga tanah air..,” katanya.
Ditanya sama ada beliau bersedia jika diminta pergi ke kawasan bergolak untuk membuat liputan, Iqram berkata: “Semestinya saya bersedia.”
Menurutnya, menjadi wartawan bukanlah cita-citanya walaupun belajar jurusan itu di UITM.
“Cita-cita saya nak jadi cikgu sebenarnya sebab saya suka berkongsi ilmu...hehehe,” katanya.
Apabila dinyatakan bahawa wartawan juga boleh melakukan peranan sebagai pendidik, Iqram berkata perkara itu ada benarnya.
“Betul tu..bagi saya,  wartawan pun sebenarnya seorang pendidik..kita mendidik masyarakat supaya mereka tahu apa itu dan ini..,” katanya.
“Peranan ini boleh je dilaksanakan oleh Bernama dengan cara memastikan setiap ilmu yang ada dan pengalaman kita sampaikan kepada masyarakat dengan mengadakan banyak program bersama pelajar sekolah dan masyarakat,” katanya.

No comments:

Post a Comment