Monday 23 October 2017

Jejak kasih...

Ditinggalkan di sebuah perhentian bas di Kuantan, Pahang ketika berusia 10 hari,  peristiwa 21 tahun yang lalu itu tidak menyebabkan sekelumit pun perasaan  dendam di hati Mohamad Putera Zainuddin.
Kisah anak muda itu yang mahu mencari ibu bapa kandungnya mendapat perhatian apabila tular di media sosial baru-baru ini.
Pagi ini beliau muncul dalam segmen ‘Inspirasi Pagi’ program NINE11 menerusi Bernama News Channel (BNC).
“Saya amat merindui mereka walaupun tidak pernah bersua muka. Naluri saya kuat mengatakan kedua ibu bapa saya masih hidup lagi. Kalau mereka ada melihat siaran ini, saya harap hubungilah saya.
“Sekiranya saya menemui mereka, saya janji tidak akan memaparkan wajah mereka kepada media, cuma akan beritahu saya telah menemui mereka,” demikian antara luahannya.
Mesra dengan panggilan ‘Ra’, Mohamad Putera berkata beliau mengetahui statusnya sebagai anak angkat kepada pasangan suami isteri Zainuddin Ahmad, 56, dan Saodah Mahmood, 59, ketika berusia enam tahun.
Namun  pada usia semuda itu, beliau tidak memahami perkara sebenar.
Ketika usianya meningkat  remaja, hasrat untuk mencari keluarga kandungnya semakin kuat walaupun kasih sayang daripada keluarga angkatnya tidak pernah berbelah bahagi untuknya.
Mohamad Putera percaya ibu bapanya mempunyai alasan sehingga meninggalkannya di dalam sebuah kotak di perhentian bas  di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 Sept 1996 sebelum  ditemui kira-kira pukul 7 pagi.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sri Amar Diraja, Johor itu kini  menyambung pengajian Diploma Pembantu Perubatan di sebuah kolej di Seremban, Negeri Sembilan.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment