Tuesday 31 October 2017

Bernama wajar dapat permit penggunaan dron...

Latihan dron kendalian Ketua Pengarang 
Bernama akan memohon permit tahunan bagi penggunaan dron yang semakin diperlukan untuk merakam visual dan foto berita.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh berkata keperluan permit itu wajar kerana Bernama tidak boleh berlengah untuk merakam foto di tempat-tempat berlaku kejadian atau acara.
"Kita guna dron mengambil gambar untuk masyarakat...kita bukan nak ambil gambar untuk suka-suka," katanya pada sesi penilaian dan pengurusan risiko Bernama di Pusat Kecemerlangan, Wisma Bernama hari ini.
Memandangkan dron sudah menjadi alat yang mula diguna dalam tugasan lebih efektif, Bernama  seharusnya diberikan permit sebagai agensi berita nasional.
"Kita akan majukan permohonan ini kepada pihak berkuasa dan menjelaskan kepada mereka mengapa kita perlukan permit," kata Datuk Zulkefli yang merasakan ia adalah menyukarkan jika permohonan dibuat setiap kali Bernama mahu menggunakan dron.
Selain polis, perkara ini melibatkan kelulusan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Persoalan mengenai risiko penggunaan dron timbul setelah seorang jurufotografi Bernama ditahan polis ketika menjalankan tugas di lokasi tanah runtuh Tanjong Bungah di Pulau Pinang pada malam 22 Oktober lalu.
Beliau ditahan kerana menaikkan dron bagi merakam video dan gambar operasi menyelamat pada malam berkenaan.
Jurufotografi itu dibebaskan setelah beliau memaklumkan telah mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah untuk menaikkan dron.
Pihak ibu pejabat telah menghantar dua petugas jurufotografi ke lokasi berkenaan  bagi mengendalikan dron dan merakam gambar.
Editor Foto Saudara Adnan Jahaya memaklumkan kepada mesyuarat penyelarasan mingguan bahawa pasukan dron akan diperbesarkan berikutan pertambahan aset dan keperluan rakaman gambar dan video dari aras tinggi.
Dua pasukan dron telah dihantar untuk bertugas di luar Kuala Lumpur iaitu Terengganu bagi projek kerajaan Terengganu dan di Pulau Pinang bagi liputan tanah runtuh.
Kes itu turut mendapat perhatian antarabangsa apabila polis Myanmar menahan dua wartawan asing termasuk seorang wanita dari Malaysia kerana menggunakan dron di kawasan parlimen di ibu negaranya Nay Pyi Taw pada Jumaat lepas.
Dua wartawan itu bekerja dengan badan penyiar televisyen Turki – TRT.
Turut ditahan bersama mereka ialah seorang wartawan tempatan yang dikatakan menjadi penterjemah mereka.
Laporan menyatakan polis berharap mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan kedua-dua wartawan itu sehingga 15 hari sebelum mensabitkan mereka dengan kesalahan membawa masuk dron ke negara itu.
Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun jika disabitkan.

No comments:

Post a Comment