Seorang
wartawan Indonesia bertanyakan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh bagaimana
Bernama menangani gejala berita palsu.
Datuk
Zulkefli menjawab dengan memberikan analogi durian jenis ‘Musang King’ yang menjadi
pilihan ramai walaupun harganya tinggi.
“Walaupun
ada banyak durian namun ‘Musang King’ tetap dicari sungguhpun harganya tinggi.
“Begitulah
juga dengan berita, kami melaporkan berita dengan benar dan tepat agar
ia menjadi rujukan pelbagai pihak,” katanya kepada wartawan berkenaan yang
menyertai delegasi 64 orang wartawan dari Persatuan Wartawan Indonesia (PWI)
Limapuluh Kota-Payakumbuh dan Riau yang melawat Bernama hari ini.
Wartawan
berkenaan menemubual Datuk Zulkefli semasa jamuan ringan pada akhir lawatan itu yang bertujuan berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa industri
media Malaysia-Indonesia.
Sebelum
itu Datuk Zulkefli menyambut ketibaan delegasi yang diketuai Zulmansyah
Sekedang sebelum mereka mengadakan sesi dialog bersama Pengerusi Bernama, Datuk
Seri Azman Ujang dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Dalam
sesi dialog itu anggota delegasi yang dalam rangka lawatan tiga hari ke ibu
negara berakhir hari ini, antara lain turut membincangkan mengenai cabaran
industri media khasnya media cetak dalam menghadapi persaingan sengit daripada
media sosial, serta semangat persahabatan yang unik antara Malaysia dan
Indonesia.
Zulkefli
dalam perbincangan itu menyarankan agar pengamal media kedua-dua negara
memperbanyakkan laporan berita yang bersifat positif dalam liputan
masing-masing.
“Sebagai
pengamal media, kita boleh memilih untuk mengungkit atau memperbesarkan sesuatu
isu itu ataupun sebaliknya. Bagaimanapun ia adalah lebih baik jika kita memilih
untuk melaporkan dari segi yang positif demi menjaga hubungan antara dua negara
ini, " kata Zulkefli yang pernah bertugas sebagai Pewarta di Indonesia dan
kini merupakan Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI).
Menurut
Zulmansyah, lawatan itu selain bertujuan
membina hubungan silaturahim yang lebih erat antara pengamal media di kedua-dua
negara ini, turut memberi peluang kepada anggota delegasi untuk bertukar
fikiran mengenai perkembangan dan cabaran semasa industri media di kedua-dua
negara.
Katanya
lawatan ke Bernama juga amat bermakna kerana ia dapat meningkatkan pengetahuan
dan kefahaman anggota delegasi mengenai peranan agensi berita itu.
Dalam
lawatan itu anggota delegasi media Indonesia itu turut diberi taklimat mengenai
operasi dan produk yang disediakan Bernama selain melawat tiga unit utama
Bernama iaitu Jabatan Pengarang, BERNAMA Radio dan BERNAMA News Channel (BNC).
Turut
meraikan lawatan delegasi itu ke Bernama ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan
Berita Ekonomi, Nor Faridah Abdul Rashid dan Timbalan Ketua Pengarang
Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Ahmad Zukiman Zain.
No comments:
Post a Comment