Penyunting visual kanan, Perkhidmatan Audio Visual Mohd Awal Ibrahim membuktikan usia tidak menghalang bagi melakukan aktiviti lasak mendaki gunung. Beliau berkongsi pengalaman dan foto mengenai ekspedisinya menawan Pinnacles di Taman Negara Mulu, Sarawak yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
“Betul
ke Encik Awal nak naik Pinnacles?’’ tanya Robert semasa saya membuat penempahan
menggunakan perkhidmatan beliau sepanjang saya berada di Mulu. Beliau bertanya demikian ketika melihat kad pengenalan saya dan mendapati usia saya sudah 57
tahun. Untuk sampai di Pinnacles seseorang itu perlu mempunyai stamina yang
tinggi dan kekuatan pada tangan serta kaki.
Saya
bersama Ustaz Asri Junin (48) dari Uxera, Saradatul Husna Ishak (24) dari Jabatan
Akaun dan seorang teman NurulAin Ajiman (24) membuat tempahan dari 14 hingga 18
Oktober 2017.
Tempahan dibuat pada awal tahun kerana terdapat dua penerbangan
sahaja ke Mulu iaitu pada sebelah pagi dan petang. Permit masuk ke Taman
Negara Mulu, tempat penginapan, guide dan perahu panjang untuk ke Pinnacle
diuruskan Robert.
Sebagai
persiapan, saya bersama rakan-rakan Kelab Kakitangan Bernama telah mengadakan
latihan mendaki Gunung Angsi di Kuala Pilah, Pine Tree di Bukit Fraser, Gunung
Irau di Cameron Highland, Gunung Kinabalu, Sabah dan Gunung Rajah di Bentong
Pahang.
Akhirnya
masa untuk ke Mulu pun tiba. Saya sudah dua kali ke Mulu dengan
membawa rombongan yang besar tetapi kali ini hanya berempat.
Dengan
menaiki pesawat MAS, kami tiba di Lapangan Terbang Miri pada jam 12.30 tengah hari
ketika Miri dan kawasan sekitarnya baru saja dilanda hujan ribut.
Kami
dimaklumkan pesawat Maswings yang pertama ke Mulu tidak boleh berlepas kerana
cuaca tidak mengizinkan. Pesawat tersebut hanya berlepas pada jam
2.30 petang dan terpaksa berlegar-legar di ruang udara Mulu sebelum
mendarat. Pesawat yang kami naiki
mendarat 1 jam kemudian.
Selamat
datang ke Mulu, dunia tanpa internet, wifi, televisyen, radio dan telefon
bimbit. Ketibaan kami disambut mesra oleh Robert dan dibawa ke homestay
miliknya yang berhampiran lapangan terbang Mulu.
Di
homestay telah sedia menunggu isteri Robert, Dina dengan hidangan minum petang.
Kami berbual mesra seperti sudah kenal lama, begitu juga pasangan pelancong
Jerman Mark dan Kina yang turut menginap di situ.
Tidak
menunggu lama kami berjalan sejauh 4km ke Gua Rusa untuk menyaksikan ribuan
kelawar keluar mencari makan dengan formasi yang begitu menarik. Kelihatan
pelancong-pelancong asing yang teruja melihat kelawar-kelawar tersebut keluar
dari Gua Rusa.
Tiada
bekalan elektrik di rumah penduduk di Mulu serta lapangan terbang, hotel dan
Taman Negara Mulu yang semuanya menggunakan janakuasa elektrik sendiri.
Di
homestay Robert, janakuasa diaktifkan mulai jam 6 petang hingga jam 6 pagi.
Selepas
sarapan, kami bergerak menuju ke jeti di Sungai Melinau berhampiran Taman
Negara Mulu untuk ke Gua Angin dan Gua Air Jernih.
Perjalanan
yang mengambil masa 40 minit itu melalui sungai yang airnya deras dan
dikelilingi hutan serta tebing batu kapur.Terdapat juga perkampungan Penan yang
lengkap dengan pondok polis, klinik serta sekolah.
Ramai
pelancong asing yang turut bersama kami melihat Gua Angin dan Gua Air Jernih.
Walaupun
gua ini berhampiran namun strukturnya berbeda dan begitu menakjubkan. Terdapat
sungai yang mengalir deras di dalam Gua Air Jernih dan ianya mengalir keluar ke
Sungai Litut tempat kami mandi manda sambil menjamu selera makan tengahari
Selepas
makan tengahari kami meneruskan perjalanan melalui Sungai Melinau semula untuk
ke kem 5 di mana semua pendaki akan berkumpul sebelum mendaki Pinnacles pada keesokan
harinya.
Dengan
ditemani jurupandu Robert, porter Salas seorang pemuda Penan dan Ah Seong
pemuda Iban, kami berjalan sejauh 9km melalui jalan yang berbatu dan ada kalanya
lecak menuju ke kem 5.
Bagi
seorang pencinta alam semula jadi, berjalan dalam hutan sebegini memang
menyoronokkan dan tidak terasa keletihan walaupun berjalan jauh dengan beban
yang dibawa. Terdapat dua jambatan gantung di laluan ini dengan aliran sungai
yang deras di bawahnya.
Selepas
dua jam berjalan akhirnya kami sampai di kem 5, tempat kami menginap pada malam
itu. Antara kemudahan yang disediakan di kem itu ialah tempat memasak, tandas, bilik mandi dan tilam kanvas
1inci, lupakan kemewahan. Kelambu disediakan dengan bayaran RM15 semalam.
Hanya
bunyi deruan air sungai di sebelah kem ini saja yang kuat kedengaran sambil
kami menikmati biskut kering dan kopi panas melepaskan penat berjalan. Sebelum
tidur kami diberi taklimat keselamatan ketika mendaki Pinnacles seperti keadaan
trek, masa, cara berjalan, penggunaan tangga dan tali.
Seawal
jam 4 pagi, kami bangun untuk bersiap, solat Subuh dan bersarapan. Jam 6.30 pagi
kami mula mendaki.
Memang
betul kata Robert, untuk mendaki Pinnacles memerlukan stamina yang cukup tinggi.
Seseorang pendaki mesti sampai ke anak Pinnacles yang jaraknya 900meter dari kem
dalam masa satu jam, jika gagal pendaki tersebut tidak boleh meneruskan
pendakian.
Kami semua berjaya melepasi masa yang ditetapkan.
Menurut
Robert kebanyakan pendaki gagal di aras 900 meter pertama ini dan terpaksa
berpatah balik. Semakin tinggi didaki semakin sukar pendakian dan pendaki
terpaksa berpaut pada akar kayu dan batu-batu yang tajam.
Setelah empat jam mendaki akhirnya kami sampai juga di Pinnacles, satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Walaupun
jaraknya 2.4km dari kem 5 tetapi kesukaran pendakian itu yang paling mencabar.
Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Robert dan Dina kerana membantu kami mencapai impian ini. Walaupun tinggal beberapa hari saja di homestay ini, namun keramahan ,masakan yang sedap serta berhibur dengan karaoke menjadi kenangan buat kami.
No comments:
Post a Comment