Friday 13 October 2017

Program bahasa Arab untuk wartawan Bernama...

Kedutaan Arab Saudi bersedia mengadakan program komunikasi Bahasa Arab bagi wartawan Bernama bermula tahun hadapan.
Pihak kedutaan akan menyediakan guru serta buku berkaitan bagi program tersebut yang tidak mengenakan bayaran.
Ketua Meja Bahasa Arab Bernama, Muhamad Razee Hasan berkata kedutaan itu berminat mengadakan program berkenaan dengan Bernama memandangkan perkhidmatan berita dalam pelbagai bahasa yang disediakan oleh agensi berita nasional ini.
Selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, Bernama mempunyai perkhidmatan berita Bahasa Arab dan Mandarin selain Bahasa Sepanyol menerusi NAM News Network (NNN) yang beroperasi dari tingkat 15 Wisma Bernama.
“Tawaran ini amat baik kerana memberi peluang kepada wartawan kita untuk mempelajari bahasa Arab terutama bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan penutur Bahasa Arab,”katanya.
“Bahasa ini penting dengan kedatangan ramai pelancong dan pelawat dari rantau Arab.
Ïa bukan sahaja berguna untuk tugas harian tetapi juga bagi meningkatkan pemahaman Bahasa al-Quran dan hadis,” katanya.
Walaupun banyak permintaan daripada pertubuhan media untuk mengadakan kursus seumpama itu, namun kedutaan merasakan lebih baik ia bekerjasama dengan Bernama.
“Ïni merupakan pengiktirafan terhadap peranan Bernama serta manifestasi kepada kerjasama yang terjalin antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak kedutaan untuk menentukan kaedah program tersebut seperti masa, hari serta tempat ia diadakan.
Bernama juga dipandang tinggi di kalangan agensi berita negara-negara Islam serta Agensi Berita Islam Antarabangsa (IINA) yang berpusat di Jeddah di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ketua Pengarah IINA, Issa Khaireh Robleh memaklumkan mengenai hasrat IINA untuk meningkatkan kerjasama dengan Bernama kepada Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh yang melawat ibu pejabat IINA pada 7 September lepas.
Issa berharap agar Bernama  memberi sokongan kepada IINA yang telah merangka pelan 10 tahun bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kepada negara-negara anggota IINA termasuk Bernama yang mempunyai Meja Berita Bahasa Arab.
Meja Bahasa Arab menyalurkan berita kepada agensi berita di 18 negara Islam selain IINA setiap hari.
Bernama akan menghadiri mesyuarat agung IINA selama dua hari bermula esok di Jeddah.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain dan Pengarang Meja Rencana Haji Mohamad Nasir Yusoff mewakili Bernama pada mesyuarat itu.
Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi Dr Awwad Saleh al-Awwad akan merasmikan persidangan yang akan turut dihadiri Setiausaha Agung OIC Dr Youssef Al-Othaimeen.



No comments:

Post a Comment