Wednesday 25 October 2017

Shukri tiba di Jakarta....

Setelah pemergiannya ke Jakarta tertangguh kerana menunggu kelulusan visa dan permit kerja, saudara Mohd Shukri Ishak tiba di ibu negara Indonesia itu petang ini bagi memulakan tugas sebagai Pewarta Bernama.
Ketibaan beliau di Bandara Soekarno Hatta disambut oleh saudara Azeman Ariffin yang akan menyerahkan tanggungjawab sebagai pewarta kepada Shukri setelah tiga tahun bertugas di Jakarta.
Shukri diiringi isteri dan anak lelaki berusia dua tahun.
Beliau sepatutnya memulakan tugas pada 1 Oktober lepas tetapi permohonan visa serta permit kerjanya mengambil masa.
“Alhamdulillah selamat sampai Jakarta 4 petang tadi,” katanya menerusi WhatsApp.
“Banyak urusan yang di luar jangkaan dan kos-kos yang tak diduga. Alhamdulillah setakat ini dipermudahkanNya,” kata Shukri, 45, yang berasal dari Guar Chempedak, Kedah.
Menurutnya, beliau membawa pakaian dan keperluan asas harian sahaja.
Total empat bagasi juga,” katanya.
Sebaik tiba, Azeman membawa Shukri sekeluarga makan di sebuah kompleks menjamu selera dinamakan ‘Eat and Eat’.
Esok, beliau akan membawa Shukri ke pejabat biro Bernama yang terletak di Wisma Antara.
“Lusa jumpa duta,” kata Azeman yang mempunyai tugasan di Surabaya pada 29 Okt hingga 1 November ini -- yang terakhir sebelum pulang ke Malaysia.
Beliau akan kembali ke ibu pejabat sebagai Editor II di Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) di mana Editor 1, saudara Ahmad Fuad Yahya merupakan bekas pewarta Bernama di Jakarta.
Selain mereka berdua, seorang lagi bekas pewarta Bernama yang mempunyai pejabat di tingkat 6 Wisma Bernama ialah Editor Meja Rencana Mohd Nasir Yusoff.
Bernama memulakan operasi di Jakarta pada 1 Oktober 1971 dengan wartawan kanan Ahmad Rejal Arbee menempa nama sebagai pewarta Bernama pertama di luar negara.
Sehingga kini, 13 orang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pewarta Bernama di Jakarta termasuk Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh yang berkhidmat di negara itu dari 1992 hingga 1995.
Malahan, bukan Datuk Zulkefli sahaja yang meningkat dalam kerjayanya menjadi ketua pengarang dan pengurus besar tetapi juga Datuk Syed Jamil Jaafar yang merupakan pewarta keempat di Jakarta pada tahun 1970-an.

No comments:

Post a Comment