Monday 2 October 2017

Bernama serah sumbangan kepada Pusat Tahfiz Ittifaqiyah...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyampaikan sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar dengan mengorbankan 23 nyawa pada 14 Sept lepas. 
Sumbangan disampaikan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab kepada Ustaz Mohd Abdul Salam Abdul Ghani yang mewakili pusat tahfiz itu.
Datuk Zakaria berkata sumbangan tersebut adalah ihsan kakitangan Bernama yang bersimpati dengan tragedi menyayat hati itu yang mendapat perhatian dalam dan luar negara.
“Saya sendiri sedih dengan kejadian ini sebab saya pun selalu solat Jumaat di kawasan berhampiran dan sering kali melihat anak-anak tahfiz ini dan tidak menyangka insiden berlaku kepada kanak-kanak yang menuntut di tahfiz ini,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Datuk Mokhtar Hussain.
Kebakaran awal pagi pusat tahfiz tersebut mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang juga warden asrama akibat terperangkap di dalam asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu di Jalan Keramat Hujung.
Ditanya mengenai peranan Bernama dalam membuat liputan sepanjang tragedi berkenaan, Datuk Zakaria  berkata Bernama memainkan peranan cukup baik dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Beliau berkata laporan Bernama dapat menangkis berita palsu atau maklumat tidak tepat berkaitan tragedi itu yang tular di media sosial.
Katanya setiap maklumat yang disalurkan Bernama mendapat pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kekeliruan berbanding pihak tertentu yang menyebarkan maklumat tidak tepat secara melulu dan tidak mengikut etika kewartawanan.
Sementara itu Mohd Abdul Salam berkata setiap sumbangan yang disalurkan akan diaudit bagi membolehkan pihaknya mengagihkan sumbangan kepada waris pelajar terlibat selain untuk kegunaan pusat tahfiz sendiri.
“Kami turut menjemput media untuk memaklumkan sumbangan yang diperolehi dan agihannya supaya masyarakat tahu ke mana ia disalurkan,” katanya.

 -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment