Kantin di tingkat dua Wisma Bernama
dibuka semula pagi ini di bawah pengusaha baharu.
Premis itu ditutup selama sebulan bagi
membolehkan pengusaha berkenaan membuat pengubahsuaian.
Selama ia ditutup, perkhidmatan 'food
truck' menjadi gantian sementara bagi kemudahan petugas.
Dengan pembukaan semula
kantin, food truck yang ditempatkan di halaman parkir tepi Wisma Bernama tidak
kelihatan lagi.
Setelah dikhabarkan bahawa pengusaha
baharu itu dipilih antara lain kerana menjanjikan menu yang menarik serta harga
berpatutan, tentu sekali harapan petugas adalah tinggi.
Apatah lagi dengan reputasi pengusaha itu
yang mempunyai restoren serta mengendalikan kantin sebuah hospital di ibu
negara.
Pembukaan semula kantin ini menjadi bualan
utama di kalangan warga Bernama sehingga dibincangkan pada mesyuarat
penyelarasan petang ini.
Namun maklum balas awal yang disuarakan tidak begitu menggalakkan.
Malahan ada kesimpulan dibuat bahawa
perkhidmatan yang disediakan adalah 'mengecewakan'.
Pada pandangan pertama (first
impression) seorang pegawai kanan bahawa tidak ada perubahan – “menu sama,
deco sama, cuma tukar wallpaper”.
Beliau turut memberi contoh nasi kerabu
yang menjadi pilihannya untuk sarapan.
Walaupun ada budu dan ulam-ulamnya, namun
tidak lengkap tanpa ikan celup tepung dan solok lada. Kuih-muih yang terhad
juga menjadi sungutan.
Ada pula yang komplen nasi lemaknya
masin.
"Nampak gayanya, kena terus pergi ke
tingkat lapan," kata pegawai berkenaan merujuk kepada 'cafe' kendalian
Koperasi Bernama.
Persoalan juga dibangkitkan sama ada
warga Bernama harus menerima sahaja sajian pengusaha baharu kantin sedangkan
kontrak diberikan adalah untuk tempoh yang panjang.
Jawapan seorang pegawai yang berkaitan
jawatankuasa kantin ialah pemantauan akan dilakukan terhadap perkhidmatan yang
disediakan.
Sekiranya banyak aduan diterima, ia akan
dimaklumkan kepada pengusaha berkenaan.
Kantin Bernama bukan sahaja dikunjungi warga Bernama dan pelawat tetapi turut menjadi pilihan kakitangan Perpustakaan Negara yang berjiran dengan Bernama.
No comments:
Post a Comment