Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama) mengungguli tiga kategori utama dalam inisiatif Rakan Pembimbing
Perkhidmatan Awam (Akrab) peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Bernama menerima Anugerah Gemilang sebagai
organisasi contoh dalam mengaktifkan serta melaksanakan aktiviti-aktiviti Akrab
secara efisien dan berkesan dalam kategori Anugerah Akrab Terbaik organisasi
sempena Seminar Akrab yang diadakan bersempena sambutan Hari Psikologi
peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya hari ini.
Editor Meja Rencana Bernama Mohd Nasir
Yusoff meraih anugerah Akrab Bestari
bagi kategori individu manakala Pengurus
Infolib Bernama Hasnita Ibrahim pula menerima anugerah Akrab Proaktif.
Bercakap kepada Bernama selepas menerima
anugerah itu, Mohd Nasir terkejut apabila namanya diumumkan sebagai penerima
anugerah namun bersyukur kerana sumbangannya menjadi rakan pembimbing di
Bernama diiktiraf di peringkat kementerian.
Beliau berkata ia merupakan anugerah
kedua yang diterimanya dengan anugerah pertama pada 2014 di Pulau Pinang pada
peringkat kebangsaan.
"Akrab Bernama bekerja keras sebagai
satu pasukan dan sentiasa bersedia untuk membantu warga Bernama yang beraspirasi
untuk meningkatkan tahap kerja dan membuahkan hasil terbaik,” katanya.
"Itulah objektif utama kita. Warga
Bernama berprestasi rendah dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) di
bawah 60 peratus akan dibantu berteraskan asas kaunseling dan kemahiran
membimbing dengan mendengar masalah mereka dan menunjukkan kesediaan untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi itu.
Selepas berkaunseling selama satu
setengah tahun, ada kakitangan yang telah menunjukkan perubahan sikap dan LNPT
dinilai semula serta mereka mendapat lebih 90 peratus," katanya.
Hasnita pula menyifatkan anugerah
tersebut bukan untuk diri sendiri tetapi untuk warga Bernama secara keseluruhan
yang sentiasa bersedia memberikan sumbangan kepada peningkatan ilmu kepada
rakan-rakan Akrab mahupun rakan sekerja.
"Saya sangat gembira mendapat
anugerah buat pertama kali,” katanya yang telah berkhidmat selama 17 tahun
dengan Bernama
Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran
masing-masing memenangi anugerah Akrab Dinamik dan Akrab Inovatif bagi kategori
organisasi. Fauziah Hussain dari Jabatan Penerangan merangkul anugerah Akrab
Utama bagi kategori Anugerah Akrab Terbaik Individu.
Anugerah Khas Akrab Tahun 2017
dianugerahkan kepada Pengerusi Akrab KKMM Mohd Zazmi Mohd Zain. Kesemua
anugerah berupa sijil penghargaan dan trofi itu disampaikan oleh Setiausaha
Bahagian Kanan (Pengurusan) Datuk Samsuni Mohd Nor.
Ketua Setiausaha KKMM Tan Sri Dr Sharifah
Zarah Syed Ahmad dalam ucapan perasmian Hari Psikologi dan Seminar Akrab KKKM
2017 itu berkata Akrab harus menjadi satu agenda yang penting untuk diambil
perhatian ke arah membentuk pekerja yang boleh bersaing secara sihat dan
memiliki moral yang tinggi.
Katanya, kajian oleh Stanford Graduate
School of Business mendapati 30 peratus pekerja meningkatkan prestasi mereka
selepas dikritik manakala 90 peratus pekerja telah berjaya meningkatkan
prestasi mereka setelah dipuji.
"Kewujudan Akrab telah membuktikan
bahawa kerajaan prihatin terhadap kebajikan kakitangan awam. Ia merupakan satu
lagi bentuk penyampaian perkhidmatan yang jarang diperkatakan atau dilihat
umum. Walaupun Akrab ini khusus untuk kakitangan awam, namun peranannya itu
sendiri jauh lebih penting, menjadi penyelesai kepada mereka yang gagal
menyerlahkan potensi diri yang sebenar," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh
Samsuni.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment