Penyerang
skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) kebangsaan, N.Thanabalan bertandang ke Wisma
Bernama hari ini untuk berkongsi pengalaman dalam sesi bual bicara Program
Inspirasi Sang Juara anjuran Pusat Kecemerlangan Bernama.
Bercakap
kepada pemberita kemudiannya, beliau mengakui lebih cenderung untuk beraksi
bersama kelab di luar negara berbanding kelab tempatan untuk masa depan kerjayanya.
Thanabalan,
22, berkata permainan pantas dan lebih agresif di luar negara merupakan peluang
terbaik bagi dirinya untuk mengembangkan
bakat selain meningkatkan mutu permainan dan ketahanan fizikal.
“Jika
saya mendapat dua tawaran yang sama baik di Malaysia dan di luar negara, saya
akan lebih memilih untuk bermain di luar negara seperti Thailand kerana ia
platform terbaik untuk menjadi lebih baik. Peluang seperti itu mungkin hanya
datang sekali dan sebagai pemain yang masih muda saya tidak melihat bermain di
Thailand sebagai satu masalah.
“Saya
difahamkan memang ada beberapa kelab Thailand dan juga Liga Super yang berminat
tetapi masih terlalu awal untuk bercakap mengenai itu…lagi pun saya masih ada
baki kontrak bersama Negeri Sembilan. Kita tunggu dan lihat sahaja,” kata
anak
jati Negeri Sembilan itu,
Dalam
pada itu, Thanabalan menyifatkan kemewahan dan nama bukan penyebab beliau lebih
tertarik untuk mewakili kelab luar, tetapi jaminan aksi 90 minit di atas padang
adalah faktor utama dalam membuat pemilihan sesebuah pasukan.
Beliau
berkata berkelana di negara luar mampu menjadikan dirinya lebih berdisiplin
selain dapat memberikan tumpuan penuh terhadap perjalanan kariernya.
“Tidak
kira sama ada bermain di divisyen satu ataupun dua, bermain di Thailand pasti
akan memberi satu pengalaman yang berharga dan apa sebenarnya yang saya mahukan
adalah jaminan waktu bermain.
“Saya
rasakan apabila anda bermain di luar negara, anda akan dapat lebih memberikan
tumpuan sepenuhnya terhadap karier anda kerana jika di sini, bagi saya terdapat
banyak gangguan,” katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment