Foto drp Facebook Dirwan Ahmad Darwis |
Pengerusi
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata
ini kerana Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Pak Saiful, memainkan
peranan signifikan dalam mewujudkan hubungan mesra tersebut dan sangat
mengenali sosiopolitik Malaysia sejak sekian lamanya.
"Allahyarham
sangat dikenali kerana watak penting yang merapatkan hubungan media antara
kedua-dua negara baik secara individu mahupun sebagai bekas Ketua Umum Ikatan
Kesetiakawanan Wartawan Indonesia-Malaysia (ISWAMI).
"Kami
kerap berhubung khususnya jika tercetus isu-isu "panas" di media.
Dalam tahun ini sahaja, saya berjumpa dengan Allahyarham dua kali iaitu di
Jakarta dan Kuala Lumpur. Pada 25 Julai, Allahyarham walaupun menjalani rawatan
dialisis sempat menyertai lawatan rombongan wartawan dari Indonesia ke Kuala
Lumpur.
"Kali
terakhir saya menemuinya di Jakarta pada 1 Ogos lepas pada majlis penghargaan
untuk media Indonesia dan Malaysia yang dihoskan Duta Besar Malaysia, Datuk
Seri Zaharin Hashim di mana Pak Saiful diberi Anugerah Khas atas sumbangannya
kepada hubungan baik Indonesia-Malaysia," katanya.
Allahyarham
Pak Saiful, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Siloam di
Jakarta pada pukul 9.30 malam tadi.
Senada
dengan Azman, Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh menyifatkan
pemergian Pak Saiful amat dirasai kerana peranannya sebagai seorang sahabat
media yang sejati, ikhlas dan jujur dalam membina hubungan yang lebih rapat
antara kedua-dua negara.
Zulkefli,
yang juga Pengerusi ISWAMI di Malaysia, berkata Allahyarham antara tokoh
wartawan Indonesia yang mengasaskan penubuhan organisasi tersebut dalam membina
persefahaman dan mewujudkan hubungan dua hala media Malaysia dan Indonesia.
"Media
memainkan peranan penting dan boleh menjadi alat untuk meregangkan atau
merapatkan masyarakat. Kerana itu ISWAMI ditubuhkan dahulu. Saya berharap,
usaha baik Pak Saiful dapat diteruskan wartawan lain dalam bentuk niat dan
tindakan," katanya.
Ketua
Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab berkata Allahyarham Pak Saiful telah
membuka banyak lembaran dan peluang berkaitan aktiviti media kedua-dua negara
sehingga dikenali dalam kalangan tokoh-tokoh wartawan Malaysia.
"Sewaktu
memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang Antara, Allahyarham telah menjalin
kerjasama rapat dengan media Malaysia hingga keakraban itu terserlah bukan
sahaja di peringkat rasmi tetapi peribadi.
"Oleh
kerana itu, hubungan Malaysia dan Indonesia berada di tahap terbaik kerana media
kedua-dua negara sentiasa memelihara silaturahim antara rakyat dan kedua-dua
kerajaan.
"Malah,
banyak krisis dapat diselesaikan melalui peranan dimainkan kedua-dua
pihak," katanya.
Bekas
Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaafar berkata Allahyarham sangat
dikenali kerana peranannya sewaktu kemuncak krisis media Malaysia-Indonesia
berikutan isu pembantu rumah dan pemilikan Ambalat, sebuah blok lautan di Laut
Sulawesi, yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.
Jelasnya,
Allahyarham ketika itu telah menggunakan platform yang terbaik dalam meredakan
dan menyelesaikan krisis tersebut yang sekali gus tidak menjejaskan hubungan
kedua-dua kerajaan.
Selain
itu, Johan berkata Allahyarham juga telah menubuhkan Yayasan Kerukunan
Indonesia-Malaysia (YAKIM) baru-baru ini sebagai satu platform menghimpunkan
tokoh intelektual, ahli perniagaan dan bekas wartawan untuk saling berinteraksi
antara satu sama lain.
"Secara
peribadi, semangat beliau sangat kuat. Walaupun sedang sakit, beliau sanggup
turun padang menyelesaikan amanah dan tanggungjawab yang telah diberi,"
katanya.
Sementara
itu, rakan media Malaysia yang rapat dengan Allahyarham, Sabaruddin Ahmad Sabri
berkata Pak Saiful antara tokoh wartawan, sahabat karib dan pemimpin media
Indonesia yang selalu mengadakan lawatan dan kunjungan dalam merapatkan
hubungan media Malaysia-Indonesia.
"Allahyarham
mudah didekati. Walaupun sibuk, beliau sangat ambil berat tentang hubungan
antara dua negara dan sangat mementingkan amanah yang diberi. Satu kehilangan
besar," katanya.
Bekas
Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, yang juga
Ahli Majlis Pentadbir Iswami, Datuk Ahmad Abd Talib berkata Allahyarham sangat
memberi perhatian kepada usaha merapatkan hubungan baik antara Malaysia dan
Indonesia.
"Kami
di Iswami sangat senang berbicara dengan Allahyarham. Beliau juga selalu
berkunjung ke Malaysia untuk mencari inisiatif yang baik demi hubungan dua
negara serumpun ini. Pak Saiful juga mudah untuk didampingi. Jenakanya sentiasa
menghiburkan,” tambahnya.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment