Saturday 21 October 2017

Seronok berkeluarga besar…

Sebagai pembantu tadbir di Unit Sistem Pengurusan Kualiti, angka bukanlah sesuatu yang asing bagi Wan Nor Azriyana Wan Ali.
Setiap kali pembentangan laporan pematuhan petunjuk prestasi utama (KPI), beliau menyediakan data pencapaian berkala setiap jabatan dan unit.
Jika angka sering menjadi urusannya di pejabat, angka juga mewarnai kehidupan peribadinya.
“Saya ada 12 orang adik beradik, enam lelaki dan enam perempuan,” kata Wan Nor Azriyana yang lebih dikenali sebagai Azi.
Sambil tersenyum, beliau mengakui “tidak ingat” usia abang sulungnya.     
Azi anak ke-11 dan mempunyai dua anak perempuan berusia dua dan enam tahun.
“Saya tak terfikir macam mana mak boleh menjaga 12 orang anak sedangkan saya ada dua pun rasa pening dengan keletah anak-anak,” kata Azi, 32, yang berasal dari Manik Urai --MU, Kelantan.
Ayahnya meninggal dunia ketika beliau dalam darjah 5.
Menurutnya, kesemua adik beradiknya telah berumah-tangga – yang terakhir adik lelaki bungsu, pada tahun 2014.
“Itulah kali terakhir kesemua kami dapat berkumpul bersama untuk menghadiri majlis perkahwinan adik di Kulai, Johor.
“Sepatutnya majlis bertandang diadakan sempena cuti Tahun Baharu Cina pada tahun 2015 tetapi banjir besar melanda Manik Urai hujung tahun 2014 sehingga rumah keluarga kami hanyut dan hanya tinggal tangga batu,” katanya.
“Adik saya tu pun dah ada anak sekarang,” katanya.
Beliau berkata mempunyai keluarga besar memang seronok tetapi sekarang susah bagi mereka untuk berkumpul disebabkan tuntutan kerja terutama bagi adik bungsu yang merupakan seorang anggota polis.
Azi masih ingat pertama kali mereka mengadakan Hari Keluarga di Cameron Highlands semasa beliau belum berkahwin lagi.
“Kami cuba jadikan sebagai acara tahunan tetapi tidak mudah kerana masing-masing bekerja,” kata Azi, yang menyertai Bernama pada tahun 2008.
Beliau mempunyai ikatan keluarga di Bernama kerana seorang kakaknya, yang merupakan anak kedua, berkahwin dengan Penolong Akauntan, Razman Abu Hassan semasa Azi  darjah 2.
“Masa tu jambatan untuk kereta masuk ke kampung saya belum ada pun lagi dan rombongan lelaki terpaksa menggunakan jambatan keretapi,” katanya.

No comments:

Post a Comment