Sentiasa bersongkok dan tersenyum, anak
jati Kampung Tok Kayaman di Chuping,
Perlis itu seorang yang tidak banyak bercakap.
“Biasa saja,” katanya apabila ditanya menerusi
WhatsApp mengenai perasaannya bersara mulai hari ini pada usia 58 tahun.
“Mestilah rindu kepada kerja,” kata
Zainol yang merupakan antara 300 kakitangan yang diraikan pada majlis “Jasamu Dikenang 2017” anjuran Kementerian Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (KKMM) pada Selasa lepas.
Menjawab soalan mengenai rancangannya selepas
ini, beliau ringkas menyatakan: “Tak tahu lagi”.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan
untuk balik menetap di Perlis setelah sekian lama merantau kerana bekerja.
Zainol mengikuti kursus senifoto selama
setahun di Pusat Latihan Belia Pertak di Kuala Kubu Baharu pada 1979 dan menyertai
akhbar Utusan di Pulau Pinang pada tahun 1981.
Sewaktu di Pertak lagi beliau sudah
bersongkok dan ada sebabnya.
“Kepala saya tidak boleh sejuk…kalau buka
(songkok), saya demam esoknya...bukan tunjuk alim,” katanya.
“Saya naik kereta tak buka air-cond,”
jelasnya yang tetap menutup kepala ketika bertugas di luar negara.
“Di USA, saya pakai topi dan di Tokyo,
saya pakai songkok, mereka kata saya dari RTB Brunei,” kata Zainol yang
menyertai Bernama pada 1982.
Beliau pernah bertugas di biro Terengganu
selama lima tahun dari 1984 hingga 1989, di Kelantan lima tahun dan Kedah
selama empat tahun dari 2008 hingga 2012.
Kerjaya sebagai jurufoto Bernama juga telah
membawa beliau ke merata negara di dunia seperti Amerika Syarikat, United
Kingdom dan Arab Saudi.
Beliau juga dianugerahi Pingat Jasa
Kebaktian (PJK) daripada Sultan Terengganu pada 1998 dan Pingat Jasa Baik (PJB)
daripada Raja Perlis pada 2010.
Tidak ramai mengetahui bahawa Zainol semasa
muda meminati seni dan pernah menjadi pelakon tambahan ‘Panggung RTM’ bersama Allahyarham
Mahmud June, Norizan dan S.Sahlan yang membuat penggambaran di beberapa lokasi
di Perlis.
“Saya pernah ambil cuti satu bulan tanpa
gaji untuk berlakon,” katanya yang tidak lagi meminati senilakon.
Walaupun menghadapi pelbagai ujian dalam
kehidupan, Zainol tabah mengharunginya dengan menjadikan rutin membaca surah
Yasin setiap hari sejak 30 tahun lalu.
“Setiap orang tidak sama ujiannya...ada orang kaya berjuta tapi anak seorang pun tak
ada...
“Macam saya, ada 9 anak..cucu 6...menantu
3...cuma ada XX ringgit dalam bank...inilah kehidupan walaupun anda jumpa saya
sentiasa tersenyum,” katanya.
“Datuk Seri (Azman Ujang, Pengerusi
Bernama) banyak tolong saya.. hanya Allah membalasnya,” kata Zainol.
Nasihatnya kepada kawan-kawan ialah: “Berjimat
sebelum habis...”
Menerusi bicara WhatsApp itu Zainol turut
berkongsi video satu ceramah agama oleh Ustaz Datuk Shamsuri Haji Ahmad
mengenai falsafah “Bola Kehidupan”.
Datuk Shamsuri menceritakan mengenai
pertemuan beliau dengan seorang kenalannya yang merupakan guru pencen
yang telah berumur.
“Dia kata orang tua-tua ni, kalau nak
dibuat contoh macamlah bola.
“Ada masa jadi macam basketball (bola
keranjang)…masa kita pencen dan dapat duit gratuiti, hartapun ada dan masih
sihat, anak-anak berebut nak tangkap kita…macam bola basketball.
“Kalau kita pergi KL dan berkunjung rumah
seorang daripada anak kita, yang lain marah dan merajuk kalau tak pergi rumah
mereka.
“Kemudian apabila tiba masa kita mula sakit-sakit
dan memerlukan penjagaan…makan minum, nak kena bawa ke klinik ambil ubat, masa
tu kita jadi macam bola sepak.
“Anak-anak mula nak lepas tanggungjawab
serahkan kepada satu sama lain kerana sibuk dengan kerja…abang sepak kepada
adik dan adik pulak cari alasan untuk tidak menjaga orang tua.
“Sampailah peringkat kita jadi bola golf…masa
tu anak-anak kira nak pukul jauh-jauh, nak lagi cantik terus masuk lubang – hole
in one…selesai, habis cerita, itulah kehidupan kita.
“Kalau boleh, biarlah kita jadi macam
bola ragbi…jatuh dalam selut dan lumpur waktu permainan dalam hujan, tetap
diterkam dan dipeluk erat.
“Kalaulah kita boleh jadi macam bola
ragbi sampai hari mati, Alhamdulillah,” kata Datuk Shamsuri.
No comments:
Post a Comment