Thursday 5 October 2017

12 Petugas Bernama Sertai Program Transformasi Minda...

Oleh Muammar Eusouffi Zainol Abidin
Seramai 12 petugas Bernama menyertai Program Transformasi Minda (PTM) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Institut Latihan FAMA Port Dickson dari 1 hingga 6 Oktober.
PTM merupakan kursus wajib penjawat awam lantikan baru ke dalam perkhidmatan awam bagi membolehkan mereka disahkan dalam jawatan.
Kursus ini juga satu usaha kerajaan dalam menyediakan pengawai dengan minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah negara maju.
Pegawai Berita Bernama News Channel Mohd Noor Iqram Rosli menyatakan perasaan gembira dan seronok menghadiri kursus itu.
Beliau berkata kursus tersebut amat diperlukan oleh penjawat awam kerana segala pengisian yang diberikan amat tepat dengan tugas dan tanggungjawab mereka.
"Kursus ini sangat membantu kami untuk mengetahui keperluan sebagai penjawat awam selama mana berkhidmat  dalam perkhidmatan awam," katanya.
Antara objektif PTM adalah memberi pendedahan kepada pegawai mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan serta peraturan-peraturan asas perkhidmatan awam.
Penolong Setiausaha, Cawangan Modal Insan Bahagian Pembagunan Sumber Manusia (BPSM), Umar Nurfitri Baharudin berkata kebanyakan peserta baru menyertai Perkhidmatan Awam, namun mereka telah menunjukkan ciri-ciri keperibadian yang positif dalam membawa perubahan kepada perkhidmatan.
"Semua peserta yang terpilih bertugas di kementerian atau jabatan di bawah kementerian atau dikaderkan di kementerian lain," katanya.
Selain Bernama, para peserta mewakili agensi dan jabatan di bawah KKMM seperti  Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
"Peserta seramai 40 orang pegawai ini terdiri daripada pelbagai gred dan skim perkhidmatan" katanya.
Kursus ini juga bertujuan memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme pegawai supaya lebih berketerampilan dan berkemampuan menyesuaikan diri dalam perkhidmatan awam.
Dengan menyertai program ini, para peserta mampu untuk menerapkan nilai budaya kerja cemerlang agar pegawai dapat memberikan penyampaian perkhidmatan dengan cekap serta berkesan.
Umar berkata peserta menunjukkan kematangan dalam berfikir, mampu bercakap dengan baik di khalayak ramai serta mempamerkan sifat kepimpinan yang wajar diteladani.
Beliau berkata mereka telah memberikan yang terbaik walaupun jadual program padat.
Antara pengisian kursus ialah tata kelakuan dan tatatertib, pengenalan organisasi, integrasi kumpulan, ujian psikologi, peraturan dan pegawai awam, overview perkhidmatan awam dan pengenalan laluan kerjaya.
Tumpuan juga diberikan kepada pengucapan awam, sistem pentadbiran negara, hal tuju negara, isu keselamatan dan pengurusan pelanggan serta etika dan keterampilan diri.





No comments:

Post a Comment